Kembar seiras teruja genggam segulung ijazah
JOHOR BAHRU - Sepasang kembar seiras teruja meraikan majlis graduasi mereka bersama pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-66 pada Isnin.
Amirah Syahfirah Rizal, 23, dan Amirah Syahirah Rizal, 23, merupakan antara penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada majlis konvokesyen yang berlangsung bermula 21 sehingga 25 November.
Kedua-dua mereka yang berasal dari Tampoi, Johor Bahru itu, bagaikan 'magnet' apabila terpilih bersama- sama menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Teknikal di Pontian sebelum ke UTM.
Amirah Syahfirah berkata, pasangan kembarnya Amirah Syahirah turut bercita-cita mahu menjadi jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik sama seperti dirinya.
"Kami seronok terima ijazah bersama-sama. Sejak dari sekolah rendah dan sekolah menengah hingga ke matrikulasi kami tidak pernah berpisah.
"Pada tahun 2017, kami bersama-sama mohon untuk menyambung pengajian di UTM. Kami tidak sangka permohonan untuk belajar di UTM diterima.
"Saya dan pasangan kembar tinggal di kolej kediaman yang sama, jadi tidak berdepan masalah untuk belajar bersama. Kami melengkapi antara satu sama lain," katanya kepada Sinar Harian.
Amirah Syahfirah yang menerima biasiswa Yayasan Sultan Iskandar berkata, kejayaan yang diperoleh itu merupakan hadiah buat ayah Rizal Hassan, 54, dan Suriyani Abdullah, 53, yang banyak memberikan sokongan.
"Saya dan pasangan kembar merupakan anak keenam dan ketujuh daripada lapan beradik. Dulu ayah bekerja sebagai pemandu bas, tetapi sekarang ayah tidak lagi memandu bas disebabkan faktor usia manakala ibu pula suri rumah," katanya.
Bagi Amirah Syahirah yang menerima biasiswa di bawah UTM berazam mahu menyambung pengajian di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.
"Memang saya dan pasangan kembar mahu sambung PhD, tetapi buat masa sekarang kami fikir hendak kerja dahulu untuk bantu keluarga.
"Syukur kami dapat kerja di tempat yang sama. Kami sudah mendapat tawaran kerja sebagai jurutera di sebuah syarikat logistik di Lapangan Terbang Changi, Singapura," katanya.
Seramai 7,934 graduan terdiri daripada 441 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D); 1,478 Ijazah Sarjana (Master); 4,368 (Sarjana Muda) dan 994 (Diploma) akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke- 66.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!