DAP sokong keputusan kepimpinan tertinggi PH

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] DAP akan menyokong sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) berhubung gabungan bersama BN bagi membentuk kerajaan Pusat.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, keputusan yang bakal dibuat adalah keputusan bersama yang mana, DAP merupakan sebahagian daripada PH.

"Kita sebahagian daripada PH, jika ada gabungan (bersama BN) yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi PH, maka kita sokong. Kita bersamalah, bersama dengan keputusan PH untuk buat gabungan dengan BN.

"Jadi kita sokonglah keputusan yang mereka buat. Saya tidak mahu komen lebih kerana ia adalah keputusan bersama, bukan sahaja (keputusan) dalam CEC malah melibatkan keputusan daripada kepimpinan tertinggi PH," katanya ketika ditemui di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Ditanya mengenai keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat CEC di ibu negara pada Ahad, Guan Eng bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow berkata, semua perkara tertakluk kepada keputusan parti.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut disebabkan mendakwa beliau tidak hadir ke Mesyuarat CEC yang diadakan di Kuala Lumpur pada Ahad.

"Saya tidak dapat hadir (mesyuarat) CEC semalam. Hari ini, saya ada di Dewan, jadi saya tiada makluman terkini untuk mengulas.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, semua tertakluk kepada keputusan parti. Semua perlu ikut keputusan rasmi parti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!