BN Sabah sokong gabungan diputuskan BN pusat

Bung Moktar - Foto Bernama
Bung Moktar - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - BN Sabah akan menyokong mana-mana gabungan yang bakal diputuskan oleh BN pusat untuk membentuk kerajaan Persekutuan, kata Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, BN Sabah membuat keputusan itu kerana mahu memastikan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan dan seterusnya mewujudkan kestabilan di negara ini.

"Kita akan ikut keputusan parti (BN pusat) bagaimana, kita kena utamakan kestabilan kerajaan (Persekutuan) dan negara ini dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas tindakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyatakan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, Bung Moktar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan rakan kerjasamanya dalam kerajaan Sabah itu.

"Kita akan bincang dengan GRS selepas selesai penubuhan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, BN Sabah memenangi tujuh daripada 12 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Hari ini, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, GRS menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri dan gabungan itu juga bersetuju untuk membentuk kerajaan Persekutuan bersama PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti lain yang bersedia bekerjasama untuk tujuan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!