Belum terima maklumat kerjasama PH, BN di Pahang: ADUN Teruntum
KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sim Chong Siang belum menerima sebarang maklumat berhubung rundingan kerjasama antara Pakatan Harapan dan BN untuk membentuk kerajaan di negeri ini.
Chong Siang berkata, beliau tidak pasti sama ada perbincangan berhubung perkara itu telah diadakan atau sebaliknya.
"Siapa yang bincang pun saya tidak tahu. Jadi tidak boleh hendak ulas lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Chong Siang yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Teruntum pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat sebarang keputusan.
"Kita tunggu keputusan pimpinan terutama daripada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari," katanya.
Khabar mengenai kerjasama itu timbul selepas Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah mengesahkan PH Pahang bersetuju untuk bergabung dengan BN bagi membentuk kerajaan di negeri ini.
Kerajaan Negeri Pahang kini tergantung apabila tiada gabungan parti bertanding pada PRU15 memperoleh majoriti.
BN yang dijangkakan kembali menerajui kerajaan negeri dengan majoriti selesa dikejutkan Perikatan Nasional (PN) yang menang dengan kelebihan satu kerusi DUN ketika ini.
PN memenangi 17 kerusi di DUN Tanjung Lumpur, Cheka, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul,Damak, Pulau Tawar, Tahan, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Lepar, Sungai Lembing dan Panching.
BN pula menang 16 kerusi di DUN Peramu Jaya, Jelai, Muadzam Shah, Dong, Guai, Kerdau, Kemayan, Benta, Inderapura, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Bebar, Chini, Pelangai dan Sabai manakala PH menang lapan kerusi iaitu DUN Tanah Rata, Teruntum, Tras,Triang, Mentakab, Semambu, Bilut dan Ketari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!