Gempa gegar Indonesia, 46 maut, 700 cedera

Beberapa penduduk cedera dirawat di kawasan parkir di sebuah hospital di Cianjur. - Foto Agensi
Beberapa penduduk cedera dirawat di kawasan parkir di sebuah hospital di Cianjur. - Foto Agensi
A
A
A

CIANJUR - Sekurang-kurangnya 46 terkorban manakala 700 cedera selepas gempa cetek berukuran 5.6 skala Richter menggegar Pulau Jawa, Indonesia pada Isnin.

"Angka kematian dijangka meningkat memandangkan banyak kawasan terjejas. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga sedang giat dilakukan untuk membantu penduduk kampung yang masih terperangkap," lapor Kompas TV memetik kenyataan kata Ketua Pentadbiran Kabupaten Cianjur di Jawa Barat, Herman Suherman

Media tempatan turut memaparkan beberapa bangunan di Cianjur musnah teruk dan sisa runtuhan memenuhi jalan utama.

Situasi menjadi agak huru-hara malah hospital di bandar berkenaan juga sesak berikutan ambulans dilihat bertali arus membawa mangsa dari perkampungan terjejas.

Sementara itu, Pusat Pemerhati Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan pusat gempa berada di wilayah Cianjur pada kedalaman 10 kilometer (km).

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) bagaimanapun menyatakan gempa itu tidak berpotensi mencetuskan gelombang tsunami.

Difahamkan, gegaran kuat itu turut dirasai sehingga Jakarta yang terletak kira-kira 100 km dari Cianjur.

Beberapa saksi di ibu kota mengesahkan gegaran selama beberapa saat itu telah menyebabkan bangunan bergoyang hingga membawa kepada pemindahan segera sejumlah kakitangan pejabat.

Ketika ini, Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati memberi amaran penduduk di sekitar kawasan gempa supaya berwaspada dengan gegaran susulan.

"Penduduk disarankan berada di kawasan lapang buat masa ini," ujarnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!