Polis lancar Op Kesan cari Acap

Razarudin (kanan) menunjukkan gegantung Op Kesan Mohammad Ashraf kepada abang mangsa, Mohd Zahiruddin (tiga, kiri) di sini, hari ini.
Razarudin (kanan) menunjukkan gegantung Op Kesan Mohammad Ashraf kepada abang mangsa, Mohd Zahiruddin (tiga, kiri) di sini, hari ini.
A
A
A

GOPENG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak melancarkan Operasi Khas Op Kesan bagi mencari dan menyelamat peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, operasi yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman itu dijalankan melibatkan 10 kilometer (km) persegi kawasan baru.

"Operasi hari ini dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak melibatkan 170 pegawai dan anggota termasuk 15 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan.

"Dalam operasi ini, kita akan mencari mangsa di kawasan baharu meliputi 10km persegi di kawasan yang belum pernah dicari sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Kesan di Pusat Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang di sini pagi ini.

Tambah Razarudin, operasi tersebut turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sebelum ini, lebih 800 individu menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk 180 pegawai dan anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi bersepadu besar-besaran yang dihentikan secara rasmi pada 30 Mac lalu.

JBPM Perak bagaimanapun masih meneruskan operasi SAR mencari mangsa sehingga ke hari ini dalam skala yang kecil.

Dalam kejadian pada 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf disedari hilang selepas dia tidak tiba di garisan penamat walaupun dia merupakan 10 peserta teratas yang sedang mendahului perlumbaan kategori 25km itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!