Konflik maritim baharu Filipina-China
MANILA – Penduduk Pulau Thitu yang terletak di kawasan perairan yang menjadi pertikaian di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan mendakwa terdengar bunyi letupan kuat selepas konflik maritim terbaharu tercetus antara tentera laut Filipina dan pengawal pantai Beijing.
The Daily Inquirer melaporkan kejadian pada Ahad itu dipercayai berpunca daripada tembakan senjata artileri dari Terumbu Subi yang merupakan pulau buatan terbesar dibina China di Spratly.
"Ia berlaku beberapa jam selepas kapal milik pengawal pantai China menghalang bot tentera laut Filipina untuk mengambil objek logam dipercayai serpihan roket yang ditemui terapung di luar pantai Pulau Thitu," kata jurucakap tentera pada Isnin.
Insiden itu berlaku kira-kira dua hari sebelum Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris dijadualkan mengadakan lawatan ke wilayah Palawan, pulau terbesar bersebelahan dengan Spratly yang turut dituntut Brunei, Taiwan, Vietnam dan Malaysia.
Kunjungan pemimpin nombor 2 tertinggi dari Washington itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan sekutu AS 'paling tua' di Asia di tengah-tengah ketegangan semakin meningkat melibatkan tuntutan di Laut China Selatan dan konflik Beijing-Taipei. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!