'Tak sangka air naik mendadak'
KOTA TINGGI - "Air naik mendadak selepas hujan berhenti," kata Zaliah Sahadon, 55 penduduk Taman Aman merupakan salah seorang mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi, di sini.
Menurutnya, air mula naik ke kawasan jalan raya sekitar jam 7.30 petang sebelum mula memasuki rumah penduduk jam 8 malam.
Katanya, dalam tempoh setengah jam, air banjir melanda rumahnya sudah mencecah paras lutut.
"Memang hujan lebat petang semalam jam 4 hingga jam 6 lebih. Masa air naik hujan sudah berhenti. Memang kami tak sangka akan berlaku banjir.
"Mujurlah ketika air mula naik di kawasan jalan, saya sudah mula simpan barang sedikit demi sedikit ke tempat tinggi," katanya ketika ditemui di PPS tersebut, hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa dari taman itu dibawa ke PPS menaiki trak kira-kira jam 9 malam semalam.
Jelasnya, ia merupakan kejadian banjir yang pertama kali berlaku melibatkan perpindahan penduduk taman itu bagi tahun ini.
"Nasib baik tidak hujan ketika kejadian. Selalu banjir berlaku ketika hujan masih turun, jika tidak pasti keadaan akan bertambah teruk. Difahamkan banjir yang berlaku ini kerana air pasang besar.
"Alhamdulillah PPS ini lebih selesa terutamanya bagi kaum wanita kerana terdapat khemah disediakan buat mangsa berbanding sebelum-sebelum ini,"katanya lagi.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail berkata, seramai 559 daripada 163 keluarga dari Taman Aman dan Taman Mawai yang terjejas ekoran banjir kilat itu ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Kolej Vokasional serta Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina New Kota.
Katanya, kesemua mangsa masih ditempatkan di PPS berkenaan kerana dibimbangi berlaku air pasang seperti petang semalam.
"Keluarga yang dipindahkan masih berada di dua PPS ini. Banjir berlaku pada waktu petang semalam jam 7.30 petang di mana air limpahan dari Gunung Panti telah turun ke Sungai Pemandi.
"Taman terlibat ada dua taman dan perlu dipindahkan sebab kawasan rumah mereka dinaiki air.
"Kalau ikut ramalan cuaca, akan berlaku hujan petang ini tapi tidak lebat macam semalam. Jika keadaan baik kita akan benarkan mangsa pulang bersihkan rumah namun jika tidak kita sentiasa menempatkan anggota di PPS ini,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!