Piala Malaysia: Selangor mara ke final bertemu JDT

Antara aksi perlawanan Terengganu menentang Selangor pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto MFL
Antara aksi perlawanan Terengganu menentang Selangor pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto MFL
A
A
A

HASRAT Terengganu FC untuk melangkah ke perlawanan akhir tidak kesampaian meskipun menang 1-0 menentang Selangor pada aksi separuh akhir kedua di sebentar tadi.

Pasukan kendalian Nafuzi itu terpaksa akur tewas secara agregat 3-2 selepas tewas 1-3 kepada Selangor pada separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu dilihat menampilkan aksi yang agresif pada awal permainan bagi mencari jaringan untuk merapatkan jurang gol daripada aksi yang pertama.

Asakan tidak henti yang dilakukan Terengganu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi penyerangnya, Tchetche Kipre yang bijak menyudahkan hantaran Faisal Halim untuk skuad penyu mendahului pada babak pertama

Memasuki babak kedua, Terengganu dilihat langsung tidak mengurangkan asakan ke arah kubu Terengganu dalam misi menyamakan kedudukan agregat.

Terengganu memiliki kelebihan apabila beraksi dengan lebih satu pemain selepas pertahanan import Selangor, Yazan Al-Arab dilayangkan kad kuning kedua sekaligus menyaksikan pemain itu dibuang padang.

Kelebihan itu, bagaimanapun gagal dimanfaatkan tuan rumah apabila tiada sebarang gol tambahan berjaya dicipta sekali gus menyaksikan Selangor mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini.

Menanti Selangor di perlawanan akhir nanti adalah Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mara selepas menang secara agregat 4-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!