Apabila selebriti masuk politik

Ahmad Idham antara selebriti yang bertanding pada PRU15 kali ini.
Ahmad Idham antara selebriti yang bertanding pada PRU15 kali ini.
A
A
A

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah melabuhkan tirainya dan tahniah kepada calon-calon yang menang serta bakal membentuk kerajaan baharu.

PRU15 dilihat begitu meriah dengan penyertaan calon yang bukan hanya daripada mereka yang sememangnya aktif di pentas politik, tetapi juga penglibatan golongan selebriti dan penggiat seni.

Jika pada penggal-penggal terdahulu, kita pernah menyaksikan penyertaan barisan selebriti seperti Abu Bakar Ellah, Herman Tino, Dayangku Intan, Aishah, Jimmy Palikat, Azwan Ali dan Dira Abu Zahar, kali ini nama Datuk Seri Eizlan Yusof, Dr Ahmad Idham, Lando, Jurey Latif serta Khair Mohd Noor pula tampil untuk memperjuangkan misi mereka menerusi parti yang diwakili.

Pembabitan artis dalam politik sering dianggap sebagai satu strategi yang mampu memberi kelebihan kepada parti yang diwakili dengan memanfaatkan populariti mereka untuk membantu kempen, malah meraih undi serta sokongan daripada orang ramai.

Bagaimanapun sejauh ini hanya Datuk Dira Abu Zahar yang pernah menang menerusi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021. Kini selebriti yang pernah aktif sebagai pelakon dan pengarah filem itu menjadi Timbalan Speaker DUN Melaka.

Sementara selebriti-selebriti lain yang menjadi calon hampir kesemuanya kalah sekali gus meranapkan impian mereka untuk bergelar wakil rakyat.

Pada PRU15 Sabtu lalu juga, kesemua selebriti yang bertanding turut kalah dan mendapat jumlah undi yang sangat kecil sehingga hilang wang deposit.

Meskipun mempunyai kelebihan dari segi bakat, personaliti, pengaruh dan pengikut, ternyata ia belum cukup untuk menarik perhatian dan mendapatkan kepercayaan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Melihat kepada perkembangan tersebut, timbul persoalan adakah rakyat menolak golongan penggiat seni untuk mewakili mereka kerana ragu dengan kemampuan dan keupayaan golongan ini?

Barangkali ada juga yang beranggapan, golongan selebriti tidak memahami politik secara mendalam dan masih cenderung kepada elemen glamor yang turut dibawa bersama ketika ‘berpencak’ di pentas politik sehingga terlihat canggung di mata orang ramai.

Tidak kurang juga pembabitan mereka dalam arena politik kelihatan untuk memperjuangkan hak orang seni semata-mata, berbanding tokoh politik sebenar yang mengutamakan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Justeru, kepada barisan selebriti yang memasang impian memasuki kancah politik haruslah lebih matang dan jelas dengan misi yang akan mereka bawa.

Persaingan dalam politik bukanlah seperti meraih undi peminat untuk memenangi Anugerah Bintang Popular, sebaliknya ia adalah satu usaha berterusan yang menuntut keikhlasan dan kesediaan untuk berkhidmat kepada rakyat dalam jangka masa panjang.

Malah ia juga memerlukan pengorbanan besar dalam proses merealisasikan misi dan perjuangan yang pastinya akan berdepan cabaran dan dugaan, malah cuma mampu dihadapi oleh mereka yang mempunyai semangat kental.

Mungkin itu juga yang menjadi antara formula Dira Abu Zahar, 38, yang kini sudah mula diterima baik dalam arena politik menerusi parti yang diwakili, UMNO.

Bukan sahaja disenangi pengundi di kawasannya, malah anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar itu turut disegani pihak lawan.

Ini kerana Dira begitu aktif dan konsisten menyalurkan khidmat dan bantuan di kawasannya meskipun di luar musim mengundi atau pilihan raya.

Mewakili golongan selebriti, pelakon drama Seratus Hari Jadi itu berjaya menjalankan misinya dan mampu membawa mandat yang rakyat berikan dengan baik.

Pendekatan serupa turut digunakan pelakon Datuk Hans Isaac semenjak menyertai PKR dan kini dipilih menduduki 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Hans cukup aktif dengan pelbagai aktiviti kebajikan dan bantuan yang dianjurkan untuk penduduk Ampang, Selangor.

Selebriti lain yang turut menyusul ialah Altimet, Shahrol Shiro, Datuk Afdlin Shauki dan ramai lagi.

Kesimpulannya, jika golongan selebriti benar-benar ingin sukses dalam arena politik dan berkhidmat untuk rakyat, mereka perlu terlebih dahulu memahami ilmu politik dan membuktikan kemampuan dengan membawa misi lebih jelas dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

* Wawann Mohd ialah Wartawan Meja Hiburan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!