Qatar 2022: Belanda lulus ujian Senegal

Belanda merealisasikan misi meraih tiga mata apabila menjinakkan juara Afrika, Senegal 2-0. -Foto EPA
Belanda merealisasikan misi meraih tiga mata apabila menjinakkan juara Afrika, Senegal 2-0. -Foto EPA
A
A
A

PASUKAN pilihan Belanda merealisasikan misi meraih tiga mata apabila menjinakkan juara Afrika, Senegal 2-0 dalam perlawanan Kumpulan A Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama, Doha pada Selasa.

Bagaimanapun biarpun menurunkan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan dijanakan penyerang Steven Bergwijn dan Vincent Janssen, namun The Oranje kendalian Louis van Gaal bergelut untuk memecahkan benteng Lions of Teranga.

Kelibat Kalidou Koulibaly, Pape Abou Cissé, Abdou Diallo dan Youssouf Sabaly, selain ketangkasan penjaga gol, Édouard Mendy ternyata menjadikan skuad pimpinan Aliou Cissé mengagalkan percubaan lawan.

Namun The Oranje yang kembali memperkemaskan cara permainan pada babak kedua, menghadirkan dua watak penting, Cody Gakpo menjaringkan gol minit ke-84, sebelum Davy Klaassen menoktahkan kemenangan Belanda pada minit ke-99'.

Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan dengan Belanda memiliki rekod tidak pernah tewas menentang lawan dari benua Afrika di pusingan akhir Piala Dunia.

Sementara itu, Senegal yang sebelum ini tidak pernah tewas ketika berdepan lawan dari Eropah, dalam fasa kumpulan kejuaraan berprestij bola sepak dunia tampil tanpa jeneral padang, Sadio Mané yang mengalami kecederaan.

Belanda sebelum ini juga tidak tewas dalam lapan perlawanan pembukaan terakhir di pusingan akhir Piala Dunia.

Senegal pula memenangi kedua-dua perlawanan pembukaan dalam kejuaraan (1-0 ke atas Perancis pada 2002, 2-1 menentang Poland pada 2018).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!