PRU15: Berakhirkah penantian rakyat Malaysia hari ini?
SHAH ALAM - Tempoh beberapa jam lagi diharapkan menjadi penantian terakhir seluruh rakyat Malaysia sejak dua hari lalu untuk melihat negara mempunyai kerajaan dan barisan kepimpinan demi membawa perubahan terhadap kestabilan politik dan masa depan negara yang lebih baik.
Ini kerana, pada jam 2 petang nanti, tempoh lanjutan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk parti politik mengemukakan gabungan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 akan berakhir.
Ramai yang sudah mula letih dengan sambungan drama politik yang berlangsung dalam tempoh 48 jam ini kerana terpaksa memikirkan tentang masa depan kerajaan yang bakal dibentuk, sedangkan kerajaan yang sepatutnya memikirkan nasib dan masa depan rakyat.
Namun bagi petugas media, letih bukan pilihan yang ada kerana hari ini beberapa lokasi yang menjadi tempat 'bersidai' sejak Ahad tentunya akan terus 'meriah' sebagai tanda setia menantikan sebarang perkembangan proses pembentukan kerajaan untuk dilaporkan kepada rakyat Malaysia.
Lokasi yang menjadi tumpuan termasuklah Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn yang dikatakan akan menjadi saksi kepimpinan BN menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri baharu.
Selain itu, perkembangan pergerakan di pintu 1 dan 2 Istana Negara juga akan terus dilaporkan dari masa ke masa.
Meskipun Perikatan Nasional (PN) memaklumkan sudah menghantar SD kepada Istana Negara untuk membentuk Kerajaan Persekutuan semalam, tumpuan tetap akan diberikan di kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh berbaki beberapa jam sebelum berakhir masa ditetapkan Istana Negara.
Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gabungan itu telah menghantar SD yang mengandungi sokongan lebih 112 ahli Parlimen yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri ke-10.
Pada masa sama, ketika BN masih belum mendedahkan keputusan untuk bergabung dengan mana-mana parti sebagai pelengkap majoriti, Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus diasak oleh akar umbi untuk menjadi lebih 'gentleman' dan berundur secara terhormat.
Sebahagian ketua UMNO Bahagian seluruh negara dalam sidang media di Menara Dato' Onn semalam mengulangi desakan tersebut atas dasar sayang dan demi pengukuhan UMNO.
Namun, apa yang lebih menarik perhatian adalah kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mencadangkan agar PN dan PH bergabung menubuhkan kerajaan kerana mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi dalam PRU15 sementara BN bersedia menjadi pembangkang.
Apa yang pasti, sebarang cadangan mahupun jangkaan akan terus menjadi sejarah apabila satu sejarah baharu bakal dicipta hari ini. Sejarah yang dilakar melalui proses demokrasi.
Sama-sama kita nantikan perkembangan yang berlaku hari ini sambil mengharapkan Malaysia yang lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!