Parlimen gantung: Kekal tenang jalani proses demokrasi
1) Tahniah kepada rakyat Malaysia yang telah keluar mengundi dan melaksanakan hak mereka untuk memilih wakil Parlimen masing-masing untuk memulihkan negara.
2) Pilihan Raya Umum ke15 berakhir dengan tidak ada kerajaan baharu yang terbentuk sebaik selesai rakyat memilih pada 19 November 2022 yang lalu.
Oleh sebab itu, Malaysia melalui situasi seperti ini dan tekanan daripada pelbagai sudut tentunya tidak dapat dielakkan.
3) Parlimen gantung adalah senario normal di dalam sistem demokrasi berparlimen dan telah ditangani dengan baik oleh negara-negara lain.
4) Sekalipun terdapat pelbagai spekulasi berlaku dalam tempoh ini, sebagai rakyat Malaysia kita harus meneliti dan memahami intipati Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan penentuan kerajaan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan hasil rundingan parti-parti politik berkenaan.
5) Rakyat perlu kekal tenang dalam tempoh kompromi gabungan dilaksanakan oleh parti-parti.
Kita perlu yakin terhadap kematangan kepimpinan yang dipilih sendiri oleh rakyat, mampu mencapai kata sepakat bagi membentuk sebuah kerajaan yang berfungsi demi kesejahteraan rakyat.
6) Sebagai sebuah gabungan yang sebelum ini mewakili Kumpulan Rentas Parlimen Malaysia –Integriti, Governan dan Anti Rasuah; kami percaya bahawa pemilihan yang membawa kita pada situasi hari ini menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai pendirian berbeza dan matang dalam membuat pemilihan yang tepat.
Perbezaan ini bukanlah lambang ketidakstabilan, bahkan ia adalah situasi luar jangka yang membawa kita mengenali sebuah keunikan demokrasi.
7) Walau bagaimanapun ia adalah sebuah keperluan mendesak untuk resolusi dicapai dan sebuah kerajaan dapat ditubuhkan dengan cepat tetapi penuh cermat kerana dasar berkaitan governan, integriti, ekonomi, sosial dan belanjawan yang melibatkan kepentingan rakyat harus tetap menjadi keutamaan dan mesti dilangsungkan segera.
Oleh itu, kerajaan yang baru ditubuhkan nanti harus benar-benar berprestasi, berkhidmat demi rakyat serta mendokong mandat perubahan untuk Malaysia yang lebih teguh dan bermaruah.
Disediakan oleh:
Bekas Gabungan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Integriti, Governan & Anti Rasuah
#RasuahBusters
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4)
Transparency International Malaysia
UNDI18
Tan Sri Syed Hamid Albar
Tan Sri Nazir Razak
Dato Hussamuddin Yaacub
Dato Arshad Raji
Prof. Dr Edmund Terence Gomez
Dr Tricia Yeoh (IDEAS)
Shah Hakim Zain
Maha Balakrishnan
Anas Zubedy
Christopher Leong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!