Rundingan bersama BN Pahang telah diadakan - Saifuddin
KUANTAN - Wakil Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung pembentukkan Kerajaan Negeri Pahang.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perbincangan selanjutnya akan diadakan pada Selasa.
Dalam kenyataan ringkas melalui Facebooknya, Saifuddin tidak menyatakan lokasi perbincangan itu diadakan.
Saifuddin dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka dilantik mengetuai rundingan itu.
Kerajaan Negeri Pahang yang tergantung ketika ini mengundang teka-teki rakyat terhadap gabungan parti yang bakal membentuk kerajaan negeri sama ada BN bersama Pakatan Harapan (PH) atau PN.
Sementara itu, PH Pahang melalui Pengarah Strateginya, Ahmad Nizam Hamid mengesahkan telah memulakan rundingan dengan BN bagi membentuk Kerajaan Negeri Pahang dan hasilnya positif ke arah itu.
Beliau turut mendakwa kenyataan bersama pimpinan BN dan PH Pahang akan menyusul dalam tempoh terdekat.
Manakala, Pengerusi Dap Pahang, Leong Ngah Ngah yang dihubungi pihak media pada Isnin juga positif dengan kerjasama itu apabila mengesahkan PH bersetuju untuk berkerjasama membentuk kerajaan negeri bersama BN.
Setakat ini belum ada sebarang kenyataan dari pihak BN Pahang berhubung perkara itu.
Kerajaan Negeri Pahang kini tergantung apabila tiada gabungan parti bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memperoleh majoriti.
BN yang dijangkakan akan kembali menerajui kerajaan negeri dengan majoriti selesa dikejutkan PN yang menang dengan kelebihan satu kerusi DUN ketika ini.
PN memenangi 17 kerusi di DUN Tanjung Lumpur, Cheka, Luit, Chenor, Bukit Ibam,Kuala Sentul,Damak, Pulau Tawar, Tahan, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Lepar, Sungai Lembing dan Panching.
BN pula menang 16 kerusi di DUN Peramu Jaya, Jelai, Muadzam Shah, Dong, Guai, Kerdau, Kemayan, Benta, Inderapura, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Bebar, Chini, Pelangai dan Sabai manakala PH lapan kerusi iaitu DUN Tanah Rata, Teruntum, Tras,Triang, Mentakab, Semambu, Bilut dan Ketari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!