Kramaric gembira cuaca 'sejuk' di Qatar
CUACA panas menjadi cabaran buat sebahagian pemain dari Eropah, namun tidak buat skuad Croatia yang menyifatkan Doha sebagai 'sejuk' menjelang sepak mula negara itu menentang Maghribi di Stadium Al Bayt pada petang Rabu.
Pemain Croatia, Andrej Kramaric terkejut dengan keadaan di Qatar dan gembira beraksi di Piala Dunia pada musim sejuk kerana rakan sepasukan berada di kemuncak prestasi ketika ini.
Mereka akan turun beraksi dalam saingan pembukaan Kumpulan F pada jam 1 tengah hari waktu tempatan atau 6 petang waktu Malaysia di bawah panas terik matahari.
Bagaimanapun ia tidak menjadi masalah kerana stadium dilengkapi dengan penyaman udara untuk mengekalkan kesejukan.
"Situasi di sini lebih baik daripada jangkaan saya, keadaannya sedikit berangin. Memandangkan ada penghawa dingin di stadium, ia akan menjadi sejuk semasa perlawanan
"Jadi saya rasa pemain mempunyai tenaga yang berlebihan sekali gus tiada masalah dari sudut fizikal," ujar Kramaric.
Selepas menentang Maghribi, Croatia akan membuat perhitungan dengan Kanada pada 28 November diikuti Belgium pada 1 Disember.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!