TNB buat persiapan menyeluruh hadapi banjir
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah membuat persiapan menyeluruh bagi menghadapi musim tengkujuh termasuk penambahbaikan beberapa infrastruktur kritikal milik syarikat tersebut yang terletak di kawasan berpotensi ditenggelami banjir.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, kesemua empangan hidroelektrik TNB juga telah dipastikan berada dalam keadaan baik untuk terus berfungsi sebagai tebatan banjir antaranya mengurangkan paras air empangan secara berperingkat bermula Julai lalu.
Menurut beliau, pihaknya telah memasang tembok penahan sistem perparitan di Pencawang Masuk Utama dan meninggikan aras platform peralatannya.
"Manakala set-set janakuasa bergerak, janakuasa mudah alih serta perkakas kritikal seperti bot, telefon satelit dan lampu limpah ditempatkan di lokasi-lokasi strategik.
“Langkah-langkah lain adalah mengubah lokasi dan meningkatkan ketinggian menara penghantaran untuk memastikan tiada risiko menara tumbang," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Wan Nazmy, sebaik keadaan berjaga-jaga diperlukan, bilik gerakan TNB di negeri yang terlibat dengan banjir akan diaktifkan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.
“Sekali lagi kami ingin menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air.
"Jika ada pencawang elektrik ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!