30 ahli Parlimen BN tidak tandatangani SD
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendedahkan kesemua 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyuarakan solidariti dan membuat keputusan untuk tidak menandatangani sebarang surat akuan berkanun (SD).
Ujar beliau, kesemua pimpinan gabungan tersebut telah mencapai satu kata sepakat dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang diadakan di Menara Dato Onn pada Selasa.
“Tiada akuan berkanun yang ditandatangani. Bagaimanapun, keputusan telah dibuat dan kesemua 30 ahli Parlimen telah menyuarakan solidariti kami dan membuat keputusan (dari situ).
"Akan ada pengumuman kemudian dan anda akan tahu dari situ," katanya kepada petugas media ketika meninggalkan Menara Dato Onn pada Selasa.
Selain itu, ketika ditanya media mengenai ketetapan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan, beliau enggan mengulas.
Pada Selasa, satu Mesyuarat Dewan Tertinggi BN melibatkan pimpinan utama gabungan tersebut dilaporkan sedang berlangsung di Menara Dato' Onn pagi tadi.
BN melalui siaran di Facebook rasmi memaklumkan bahawa mesyuarat berkenaan dipengerusi kan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Difahamkan pertemuan tersebut adalah bagi memuktamadkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam membentuk kerajaan Persekutuan.
Beberapa pimpinan BN dilihat memasuki Menara Dato' Onn pada Selasa sejak jam 9.40 pagi lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!