Lima lelaki ditahan babit kes samun kenderaan

Pemilik kenderaan menunjukkan kenderaan yang mahu dijual kepada suspek.
Pemilik kenderaan menunjukkan kenderaan yang mahu dijual kepada suspek.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan lima lelaki warga tempatan berusia 21 hingga 56 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kes samun kenderaan di Taman Bukit Indah, di sini lewat petang Isnin.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian itu dipercayai berlaku akibat salah seorang suspek yang ditangkap tidak berpuas hati terhadap urusan jual beli kenderaan jenis Mercedes Benz C200 dengan pemilik kenderaan berkenaan.

Menurut Rahmat, rasa tidak puas hati terhadap urusan jual beli berkenaan turut menyebabkan berlakunya pergaduhan semasa perbincangan sedang dilakukan hingga menyebabkan berlaku kecederaan terhadap pemilik kenderaan

"Pihak polis menerima laporan berhubung kes samun melarikan kenderaan di Jalan Indah 15/3 Taman Bukit Indah pada 1.20 pagi, 16 November lalu.

"Seterusnya, pada 6.50 petang 21 November, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor telah membuat tangkapan ke atas lima lelaki di sekitar Taman Setia Indah, serta merampas barang kes (kereta yang dilarikan).

"Kesemua lelaki berkenaan kemudiannya telah mengaku terlibat dengan kejadian (samun/larikan kenderaan), yang berlaku," katanya menerusi kenyataan media berkenaan.

Tambah Rahmat, salah seorang lelaki yang ditahan turut disabitkan atas kesalahan bawah Akta Pertubuhan kerana terdapat tatu burung Phoenix di lengan sebelah kanannya.

Kes berkenaan akan disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rahmat menegaskan, pemilik kenderaan berkenaan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk menerima rawatan atas kecederaan yang dialaminya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!