PRU15: Polis Johor buka 30 kertas siasatan, tahan enam lelaki
JOHOR BAHRU - Polis menahan enam lelaki dan membuka 30 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini, bermula 4 November lepas hingga semalam.
Ketua Polis Johor,Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, berdasarkan jumlah itu, 27 daripada kertas siasatan berkenaan telah dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri.
Beliau berkata, sebanyak 15 kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK), lapan kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan tujuh kes disiasat di bawah KK dan Akta Bahan Letupan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Bagaimanapun, kita mendapati proses mengundi pada PRU15 (Sabtu lepas) berlangsung dengan lancar dan tiada insiden atau perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya menerima 339 laporan polis dalam tempoh sama dengan daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah laporan kesalahan tertinggi iaitu 78, Johor Bahru Utara (58), Batu Pahat (25), Pontian (24), Muar (20), Segamat (17) dan Kluang serta Iskandar Puteri masing-masing 30.
"Sebanyak 16 laporan diterima di Johor Bahru Selatan, Seri Alam (12) dan Mersing (tujuh), manakala Kulai dan Tangkak masing-masing mencatatkan 11 kesalahan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!