Tanda harga Bellingham cecah RM1.08 bilion
TANDA harga pemain meningkat naik, Jude Bellingham dijangka mencecah sehingga 200 juta pound (RM1.08 bilion) selepas berakhir Piala Dunia 2022 setelah dia menjadi pemain kedua termuda England berjaya menjaringkan gol.
Jangkaan nilai tinggi Bellingham dibuat para peminat di laman sosial selepas perlawanan pertama Kumpulan B yang menyaksikan The Three Lions menang besar ke atas Iran 6-2.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Khalifa, pemain tengah Borussia Dortmund itu meledak gol pertama pada minit ke-35.
Gol itu menyaksikan dia menjadi penjaring kedua termuda England pada usia 19 tahun dan 145 hari, di belakang Michael Owen.
Owen dua kali meledak gol buat England pada usia muda.
Jaringan pertama ketika menentang Romania pada usia 18 tahun dan 190 hari sebelum menghasilkan gol kedua lapan hari kemudian pada pertemuan dengan Argentina di Piala Dunia 1998.
Peminat di media sosial meramalkan nilai Belligham akan melonjak jika dia kekal konsisten dengan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
Bellingham dijangka meninggalkan Dortmund pada musim panas ini dengan beberapa kelab gergasi berminat untuk mendapatkan khidmatnya termasuk Real Madrid, Manchester City, Liverpool, Manchester United dan Chelsea.
“Tanda harga Bellingham akan menjadi 200 juta pound (RM1.08 bilion) selepas tamat kejohanan,” kata seorang peminat.
Seorang lagi berkata; "Tanda harga Bellingham sudah lebih 150 juta pound. Kini dia mendominasi bahagian tengah England.
“Dia akan membuatkan Liverpool perlu membayar 200 juta pound (RM1.085 bilion),” ujar seorang peminat.
Dalam pada itu, bekas pemain England, Alan Shearer turut memuji aksi yang ditampilkan pemain tengah itu dan menyifatkan bermain di Bundesliga membantu mengembangkan kerjayanya.
“Ia memberinya pengalaman hebat (bermain secara kerap untuk Dortmund), membiarkan dia memahami permainan, mengetahui permainan dan saya fikir ia berkesan untuknya dan kerjayanya,” ujar Shearer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!