Warga emas berputih mata, wang RM500,000 lesap

PDRM
PDRM
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang wanita warga emas berputih mata selepas wang simpanannya bersama anak, hampir RM500,000 lesap akibat diperdaya pelaburan tidak wujud bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, semuanya bermula selepas mangsa berusia 60 tahun tertarik dengan tawaran buku pengurusan kewangan secara percuma.

"Pada 3 Oktober, mangsa telah terima pesanan daripada page tidak dikenali melalui aplikasi 'Facebook Mesengger' dari page yang tidak dikenali yang menawarkan buku pengurusan kewangan secara percuma.

"Mangsa telah menekan pautan link WhatsApp yang diberikan dan dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp atas nama Perbincangan Keluarga," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Menurutnya, mangsa telah diminta memuat naik aplikasi 'Forza' untuk membuka akaun simpanan dan dijanjikan akan mendapat faedah dari simpanan dibuat.

Jelasnya, melalui aplikasi tersebut, mangsa perlu memasukkan wang ke dalam nombor akaun bank yang diberikan oleh admin kumpulan WhatsApp tersebut dan menghantar slip pembayaran.

"Mangsa telah membuat simpanan wang di dalam aplikasi itu dengan membuat sebanyak 17 transaksi kemasukan wang bermula 1 November lalu hingga 17 November dengan nilai keseluruhan berjumlah RM476,100.

"Wang itu dimasukkan ke dalam dua buah akaun bank tempatan atas nama syarikat yang berbeza menggunakan wang simpanan sendiri dan anak serta pinjaman daripada rakan-rakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, mangsa mendapati akaun simpanan dalam aplikasi berkenaan disekat apabila gagal mengeluarkan wang faedah dan turut diminta memasukkan lagi wang sebanyak RM427,200.

Aidi Sham berkata, mangsa yang mula menyedari diperdaya telah membuat laporan di Balai Polis Telok Kemang di sini pada Isnin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!