Jangan biarkan tergantung lama
RAKYAT Malaysia sudah pun menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan keluar mengundi pada 19 November 2022 lalu, sama ada mengundi secara biasa di pusat-pusat pengundian, undi awal atau undi pos, tanggungjawab tersebut telah pun dilaksanakan.
Biarpun hujan di beberapa lokasi, namun rakyat Malaysia tetap keluar ke pusat-pusat pengundian bagi menunaikan tanggungjawab serta hak masing-masing kali ini.
Mereka juga telah memuktamadkan pilihan masing-masing bagi memilih parti yang dilihat benar-benar layak menjadi kerajaan dan mentadbir negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Bagaimanapun, setelah selesai proses pengundian, pengiraan undi, kerajaan pilihan rakyat kali ini masih belum dapat dibentuk apabila tiada parti yang memperolehi majoriti lebih 50 peratus daripada 220 kerusi Parlimen.
Sekali gus, menyaksikan Parlimen Malaysia dalam keadaan ‘tergantung’ buat pertama kalinya sejak PRU pertama diadakan pada 1959.
Situasi itu kemudiannya menyaksikan beberapa percubaan rundingan dilakukan oleh parti-parti bertanding bagi membentuk ‘gabungan’ atau ‘kerajaan campuran’ dalam usaha mendapatkan majoriti dan seterusnya menubuhkan kerajaan.
‘Drama’ itu berterusan apabila percubaan atau rundingan mendapat respons daripada beberapa pimpinan tertinggi parti yang turut menyatakan pendirian masing-masing terhadap gabungan yang bakal dibentuk kelak.
Malah, ada antara mereka yang turut meletakkan syarat-syarat tertentu sekiranya mahu menyaksikan gabungan yang dicadangkan itu direalisasikan.
Antara syarat-syarat berkenaan adalah seperti gabungan berkenaan hanya akan melibatkan parti-parti tertentu mahu pun pemimpin-pemimpin tertentu sahaja.
Kesemua perkara seperti ini dilihat semakin merumitkan keadaan dan sekali gus memberikan bayangan bahawa kemelut ‘Parlimen tergantung’ ini bakal berlarutan sehinggalah menemui jalan penyelesaian yang terbaik kelak.
Apa pun, diharapkan agar ia tidak berlaku kerana secara keseluruhannya ia bakal memberikan kesan yang tidak baik melibatkan dari segi politik dan juga ekonomi.
Justeru, rakyat di negara ini pastinya mengharapkan agar kerajaan yang akan dibentuk berpeluang untuk mentadbir negara bagi tempoh lima tahun sebelum PRU16 diadakan kelak.
Ini kerana, rakyat juga sudah semestinya mahukan kerajaan berkenaan diberikan peluang untuk mentadbir negara bagi tempoh maksimum lima tahun dan sekali gus menunaikan segala janji mereka ketika tempoh berkempen sebelum ini.
Malah, dalam tempoh lima tahun itu juga rakyat sudah pasti tidak mahu lagi melihat berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) di sepanjang tempoh lima tahun berkenaan kecuali berlaku perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan seperti kematian.
Sekarang sudah tiba masanya untuk bekerja (berkhidmat) bagi membina semula negara dalam era pasca Covid-19 ketika ini dengan menarik semula pelaburan ke negara ini.
Kehadiran semula pelabur-pelabur ke negara ini dilihat bakal memastikan kedudukan ekonomi yang stabil dan seterusnya mampu menjamin kesejahteraan hidup rakyat.
Namun, kesemua ini hanya dapat dilakukan dengan kewujudan kerajaan yang stabil di negara ini yang sekali gus bakal memberikan keyakinan kepada pelabur.
Rakyat juga sudah pasti tidak mahu lagi berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun seperti sebelum ini.
Oleh itu, apa yang penting ketika ini adalah kesemua pihak terutamanya bagi parti-parti yang bertanding perlu mengetepikan ego masing-masing dan duduk bersama-sama bagi mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mahu membentuk gabungan sesama mereka.
Sekiranya perkara ini masih belum dapat diselesaikan dan berlarutan untuk satu tempoh yang lebih lama, sudah pasti ia memberikan kesan buruk kepada negara terutamanya dari segi ekonomi.
*Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!