PRU15: Sikap angkuh, ego punca BN kalah teruk
SHAH ALAM - Felo Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Eddie Khoo menyifatkan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih dahsyat berbanding PRU14.
Beliau berkata, kekalahan tersebut berpunca daripada sikap pemimpin parti itu sendiri yang dikatakan angkuh dan ego.
"Banyak faktor sebenarnya sejak kekalahan BN pada 2018. Kebanyakan pengundi ingin tahu sikap tawaduk dalam UMNO dan nampak bagaimana mereka mendesak pilihan raya ini diadakan pada musim hujan dan tengkujuh.
"Apabila mereka disoal namun (cara) balas seakan-akan angkuh dan ego. Mereka juga terlalu ambil serius. Tetapi saya rasa ini penjelmaan baharu di kalangan orang UMNO," katanya pada program Sinar Live bertajuk: Pasca PRU15: Ke Arah Politik Stabil Atau Sebab Kuasa yang dikendalikan Ismail Adnan.
Tambah Eddie, antara faktor lain penyebab kekalahan parti itu adalah sikap sabotaj dan kesilapan strategi di mana BN mengetepikan calon-calon mereka yang kuat.
Saya agak terperanjat kerana 'panglima-panglima' besar diketepikan begitu saja.
"Sebab kita tahu bahawa persengketaan dalam UMNO (khususnya) dalam kalangan 'panglima' besar dan tabiat sabotaj yang kian lama berlaku terutama di akar umbi.
"Saya rasa kekalahan UMNO pada tahun ini jauh lebih dahsyat berbanding PRU14 namun ini juga satu kemuncak bermula 2008 kerana tanggapan bahawa UMNO itu adalah angkuh, mempunyai budaya buruk dan tiada pembersihan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!