PRU15: Calon Padang Serai, Tioman perlu hadir cabut undi

Hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon esok. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon esok. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Calon Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon pada hari penamaan calon, esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia bertujuan untuk cabutan undi bagi menentukan susunan nama pada kertas undi.

"Bakal calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya ini boleh menyerahkan kertas penamaan calon dari jam 9 hingga 10 pagi kepada pegawai pengurus di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah bagi Parlimen P017 Padang Serai manakala di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang bagi DUN N42 Tioman," katanya.

Menurut beliau, bakal calon yang ingin bertanding pada kerusi Parlimen dan DUN tersebut disarankan agar mengisi borang serta membuat semakan awal dengan pejabat pegawai pengurus bagi melancarkan proses penamaan calon.

"Bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran," katanya.

Beliau berkata, hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

"Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik adalah tidak dibenarkan pada hari penamaan calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Proses pilihan raya Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember depan susulan kematian calon yang bertanding.

Artikel Berkaitan:

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 24 November sehingga jam 11.59 malam, 6 Disember.

Calon PH Padang Serai, 69, dilapor meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kulim, Kedah jam 2.27 petang, Rabu minggu lalu.

Sementara bagi DUN Tioman, calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli meninggal dunia di Hospital Rompin, beberapa jam sebelum proses pengundian, Sabtu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!