Senarai nama Exco Perlis sudah lengkap
Ketiga-tiga mereka iaitu Abu Bakar Hamzah, Izizam Ibrahim dan Megat Hashirat Hassan adalah ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menggunakan logo PN.
Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar berkata, pihaknya telah memberikan tiga nama ADUN untuk dipertimbangkan membarisi senarai Exco baharu nanti.
"Kita telah menghantar nama saya ADUN Kuala Perlis, Izizam ADUN Titi Tinggi dan Megat Hashirat ADUN Pauh untuk calon Exco Kerajaan Negeri Perlis yang baharu.
"Yang ini untuk Bersatu sahaja. Calon Exco daripada Pas, saya tidak berapa pasti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan PN akan menggunakan komposisi tujuh daripasa Pas termasuk Menteri Besar dan tiga lagi Bersatu berhubung nisbah pembahagian jawatan dalam barisan Exco Kerajaan Perlis yang baharu.
Sementara itu, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli memberitahu, pihaknya telah menghantar senarai nama ADUN yang akan membarisi Exco Kerajaan Negeri Perlis untuk pertimbangan PN di peringkat pusat.
"Ada dah secara dasarnya (senarai nama exco). Cuma ada sikit-sikit takut berlaku perubahan, tunggu lampu hijau daripada PN Pusat.
"Sudah (hantar nama ke PN pusat), semalam saya sudah hantar," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Rabu.
Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Menteri Besar Perlis kelapan pada Rabu.
Mohd Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri tiba di Kompleks DUN Perlis di sini pada jam 9 pagi dan ketibaannya disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!