Zahid, Tok Mat dan Zambry wakili 30 MP BN menghadap Agong
KUALA LUMPUR - Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11.24 pagi tadi selepas kira-kira 40 minit memasuki kawasan berkenaan.
Dua lagi pemimpin gabungan itu yang dilihat meninggalkan Istana Negara melalui pintu dua adalah Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut sumber, ketiga-tiga pemimpin berkenaan menghadap Seri Paduka Baginda bagi mewakili kesemua ahli Dewan Rakyat daripada gabungan itu.
"Ahli Dewan Rakyat BN yang lain tidak datang ke Istana Negara, mereka hanya diwakili tiga pemimpin yang tadi," katanya ketika ditemui di luar pintu Istana Negara di sini, pada Rabu.
Sehingga jam 12 tengah hari, tiada kelibat mana-mana atau baki 27 ahli Parlimen BN yang dilihat memasuki kawasan Istana Negara.
Pada Selasa, Seri Paduka Baginda menitahkan 30 ahli Dewan Rakyat daripada BN menghadap pada jam 10.30 pagi ini di Istana Negara.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, pertemuan itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua gabungan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 4.30 petang Selasa.
Jelas beliau, proses ini dilakukan bagi membolehkan Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat, yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, difahamkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang malam Selasa memutuskan untuk memohon perkenan untuk menangguhkan pertemuan dengan Seri Paduka Baginda yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi ini.
Ia susulan gabungan itu masih kekal dengan pendirian dibuat sebelum ini untuk tidak menyokong PH atau PN bagi membentuk kerajaan.
Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri yang memasuki hari keempat hari ini menyaksikan masih tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.
Walaupun PH dan PN masing-masing sebelum ini menyatakan keyakinan memperoleh sokongan mencukupi, namun keputusan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN melibatkan pimpinan utama gabungan tersebut di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada pagi Selasa menjawab segalanya.
BN yang dilihat menjadi 'king maker' membuat keputusan untuk kekal sebagai pembangkang dan tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan, sekali gus menyukarkan PH dan PN mencapai majoriti mudah 112 sokongan ahli Dewan Rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!