Gerakan Islam berjaya menangi Undi18
SHAH ALAM - Gelombang hijau yang menyaksikan Pas berjaya memenangi 49 Kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU5) bukanlah sesuatu yang menghairankan.
Pakar Sumber Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Ooi Kok Hin berkata, gerakan Islam yang dibawa sejak sekian lama sememangnya mampu memberikan kelebihan untuk menarik undi anak muda.
Malah, pendekatan yang digunakan Pas dan Perikatan Nasional (PN) dengan lebih mengutamakan kempen melalui media sosial juga memastikan kejayaan parti itu meraih banyak kerusi luar jangka dalam PRU15.
"Pada pandangan saya, ini bukan sesuatu yang menghairankan bahawa gelombang hijau itu berlaku dalam PRU15.
"Kalau kita lihat pilihan raya kampus, Gerakan Mahasiswa Islam telah memenangi secara dominan pilihan raya kampus sama ada pro aspirasi atau pro mahasiswa sejak 1980-an lagi.
"Di sini kita boleh nampak kelebihan gerakan Islam untuk mobilasi orang muda dan diterjemahkan melalui Undi18," katanya dalam rancangan Wacana Sinar siri 372, Pasca PRU15: Ke arah politik stabil atau sebab kuasa yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.
Wacana tersebut turut menampilkan bekas Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar, Felo Kanan ISIS Malaysia, Eddin Khoo dan Mantan Profesor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik.
Dalam pada itu, beliau melihat UMNO perlu tampil dengan wajah baharu selepas melihat kepada penolakan besar yang telah ditunjukkan oleh rakyat dalam PRU15.
Malah, beliau juga percaya langkah parti tersebut untuk menjadi pembangkang adalah yang terbaik dalam usaha memenangi semula hati rakyat.
"Sudah dua kali rakyat memberi mesej bahawa mereka tidak mahu UMNO dalam kerajaan. Jika mereka tetap mengambil jalan pintas untuk masuk dalam kerajaan, seolah-olah UMNO tidak mahu menerima isyarat tersebut," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!