Bahaya main isu perkauman

Badlishah
Badlishah
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) memandang serius dan mengambil berat berhubung sentimen perkauman serta agama yang hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat terutama di platform media sosial.

Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, perkara tersebut berlaku apabila kedua-dua isu tersebut dijadikan modal dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan setelah berakhirnya pilihan raya.

Tegasnya, sekiranya isu perkauman dan agama tidak dibanteras, ia boleh menggugat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sehubungan itu katanya, Ikram menggesa semua pihak agar menghentikan sebarang cubaan untuk memainkan isu-isu perkauman dan agama.

"Semua pemimpin hendaklah berperanan untuk memastikan pengikut masing-masing khususnya dan masyarakat secara amnya menjaga keharmonian dan perpaduan yang telah terbina sekian lama.

"Sebarang cubaan untuk menggugat keharmonian negara hendaklah dibanteras berlandaskan peruntukan undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Badlishah berkata, Ikram mengetahui bahawa cuaca politik negara masih panas ketika ini memandangkan tiada gabungan politik yang mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat, berdasarkan keputusan PRU15 yang baru diumumkan.

Meskipun begitu menurutnya, orang ramai terutama penyokong parti perlu bertenang sementara proses kerajaan baharu mahu dibentuk berlandaskan lunas-lunas perlembagaan negara.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, Ikram amat mengambil berat sensitiviti umat Islam di Malaysia, namun dalam masa yang sama menghormati hak dan pandangan semua kaum di negara ini.

Jelasnya, perpaduan utuh di antara masyarakat pelbagai kaum merupakan prasyarat untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, maju dan progresif.

"Perpaduan yang utuh amatlah kritikal dalam masa sekarang, ketika negara menghadapi pelbagai cabaran dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Oleh itu, semua pihak dituntut berganding bahu mempertautkan dan mengukuhkan semula hubungan di antara sesama anggota masyarakat, setelah negara melalui satu pilihan raya umum yang telah menimbulkan rasa tidak senang di antara satu sama lain.

"Sebagai rakan strategik dalam pembinaan negara, Ikram akan sentiasa memberikan komitmen terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan nasional negara dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menjunjung aspirasi yang sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!