Lelaki hasut, pertikai kuasa Agong diberkas

Hantaran dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Instagram yang menyentuh mengenai Yang Dipertuan Agong dan menghasut orang ramai supaya melakukan demonstrasi pada Selasa.
Hantaran dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Instagram yang menyentuh mengenai Yang Dipertuan Agong dan menghasut orang ramai supaya melakukan demonstrasi pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki tempatan direman tiga hari selepas diberkas setelah memuat naik kenyataan menerusi video di Instagram menyentuh mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menghasut orang ramai supaya melakukan demonstrasi pada Selasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, hantaran dimuat naik suspek menyentuh Yang Dipertuan Agong dalam pemilihan Perdana Menteri Malaysia dan melabelkan salah satu kaum di negara ini sebagai korupsi.

Menurutnya, selain itu, hantaran dimuat naik suspek turut membantah kuasa Yang Dipertuan Agong dalam pemilihan calon Perdana Menteri.

"Risikan dan maklumat yang dijalankan membawa kepada penangkapan seorang lelaki berumur 35 tahun itu yang dipercayai pemilik akaun Instagram tersebut.

"Suspek diberkas menerusi serbuan yang dijalankan sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sebuah rumah yang terletak di sekitar daerah Kajang kira-kira jam 10.30 malam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, pihak polis telah menerima perintah tahanan reman terhadap suspek selama tiga hari mulai 23 hingga 25 November.

"Perintah tahanan reman tersebut diterima daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi memudahkan siasatan lanjut dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menghayati serta menghormati prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

"Penting untuk mematuhi undang-undang yang diperuntukkan demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara dan mereka yang didapati berbuat demikian akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukkan undang- undang yang telah ditetapkan," katanya.

Pada Selasa, satu hantaran jelik dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Instagram yang antaranya menyentuh mengenai kuasa Yang Dipertuan Agong dalam pemilihan Perdana Menteri Malaysia dan melabelkan salah satu kaum di negara ini sebagai korupsi.

Hantaran itu turut membantah kuasa Yang Dipertuan Agong dalam pemilihan calon Perdana Menteri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!