Hotel The St Regis pula jadi tumpuan
KUALA LUMPUR - Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau dilihat memasuki Hotel The St. Regis, di sini kira-kira jam 2.40 petang.
Hotel ini mula menjadi tumpuan media apabila dilaporkan akan menjadi lokasi pertemuan beberapa pemimpin politik.
Berdasarkan maklumat awal, Sinar Harian dimaklumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu beberapa pemimpin politik daripada BN.
Pihak media yang mendapat maklumat awal, mula bergegas ke hotel itu bermula jam 11 pagi.
Muhyiddin sebelum ini dilihat keluar dari kediamannya pada jam 10 pagi namun kembali ke rumahnya di Bukit Damansara kira-kira jam 11.55 pagi tadi.
Pada Selasa, Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan parti itu berpendirian untuk tidak terlibat dengan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, beliau juga telah menandatangani surat dan memilih untuk tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!