Polis ketat kawalan keselamatan, SJR di Istana Negara

Pihak polis mengawal ketat laluan menuju ke pekarangan Pintu 2 Istana Negara pada Rabu. - Foto Bernama
Pihak polis mengawal ketat laluan menuju ke pekarangan Pintu 2 Istana Negara pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketatkan tahap kawalan keselamatan dan turut melakukan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Pintu 2, Istana Negara, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi berkata, penugasan pelaksanaan kawalan berkenaan adalah memastikan urusan rasmi Istana Negara termasuk memanggil pemimpin parti politik serta pegawai tinggi kerajaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Beliau berkata, polis juga melaksanakan beberapa sekatan jalan raya (SJR) di kawasan berhampiran dengan Istana Negara.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, situasi semasa di Pintu 2, Istana Negara adalah terkawal dan tiada sebarang insiden yang berlaku.

Mengulas mengenai anggota polis membawa senjata api di pekarangan Pintu 2, Amihizam berkata, ia adalah prosedur operasi standard yang biasa untuk anggota polis membawa senjata api bagi mengawal ketenteraman awam.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pintu 1, Pintu 2 dan Pintu 3, Istana Negara mendapati ia dikawal rapi oleh anggota polis sejak awal pagi tadi dan mendapati terdapat penambahan bilangan anggota polis bersenjata mengawal laluan keluar masuk ke Pintu 2 Istana Negara berbanding semalam.

Pada masa yang sama, pasukan Light Strike Force juga dilihat telah dikerahkan dan dalam keadaan siap siaga bagi mengawal keadaan.

Situasi di Pintu 1 juga terkawal namun tidak mengambil mudah, kawalan ketat terus dilakukan polis yang bertugas walaupun hanya kelibat media yang kelihatan seawal 9 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Pembaharuan aspek kawalan keselamatan juga dibuat mulai hari ini iaitu petugas media yang ingin memasuki pekarangan berkenaan dikehendaki mendaftar di sekatan jalan raya yang dibuat pihak polis.

Di MELAKA, sebanyak empat SJR polis di beberapa lokasi strategik di Melaka dilakukan secara penugasan 24 jam bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, SJR itu sudah pun bermula Selasa sehingga suatu tempoh yang dtetapkan dengan melibatkan kira-kira 20 pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

"Lokasi yang dikenal pasti membabitkan dua di daerah Melaka Tengah dan masing-masing satu di Jasin serta Alor Gajah. Bagaimanapun lokasi SJR ini diadakan akan berubah-ubah mengikut kesesuaian serta keperluan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyatakan PDRM melancarkan SJR di lokasi-lokasi strategik di setiap daerah di seluruh negara mulai Selasa sehingga satu tarikh ditetapkan bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam.

Pelaksanaan SJR itu adalah sebahagian daripada usaha PDRM untuk mencegah jenayah melalui peningkatan tahap omnipresence atau kehadiran anggota polis dan akan dijalankan secara penugasan 24 jam. - Bernama



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!