Ketua Menteri Sabah tak lancar 'perang': Joniston

Joniston
Joniston
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berpandangan tiada sebarang 'perang' dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau yakin kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan pemimpin di negeri ini termasuk Hajiji dan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

"Saya tidak melihat adanya perang, saya ada baca di berita tetapi saya tidak fikir yang Ketua Menteri mahu berperang dengan siapapun.

"Saya rasa Ketua Menteri mengutamakan kepentingan rakyat dan saya juga fikir Datuk Seri Bung juga seorang pemimpin yang rasional, yang lebih memikirkan apa yang terbaik untuk negeri Sabah dan juga rakyat Sabah," katanya ketika ditanya mengenai situasi semasa politik Sabah ketika ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada sidang akhbar sempena program Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) 2022 di Pejabat Lembaga Pelancongan Sabah, Jalan Gaya di sini pada Rabu.

Ditanya jika ada perubahan di peringkat Persekutuan, beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa semua pihak harus melihat keadaan politik di Sabah yang unik.

"Kita mesti lihat Sabah sebagai sebuah negeri yang unik dan istimewa dan ini sudah diketahui oleh pemimpin peringkat Persekutuan.

"Jadi biarlah kami terus menjadi unik dan istimewa, sebab itu saya secara peribadi yakin pada akhirnya pemimpin di negeri ini akan mempertimbangkan apa yang baik untuk rakyat dan Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Raime Unggi meminta semua pemimpin, ahli dan penyokong kedua-dua parti mengambil langkah bertenang selain tidak menimbulkan sebarang kenyataan yang boleh menguris hati kedua-dua pihak.

Beliau berkata, kedua-dua pimpinan sudah bersuara dan ada baiknya menanti setiap perkembangan melibatkan kedudukan semasa di ibu negara sebelum membuat sebarang keputusan.

"Bagi kami di BN Sabah, kami akan akur setiap keputusan yang diambil oleh Pusat, namun dalam masa sama kita juga mengambil pendekatan terus bermuafakat dengan gabungan yang ada.

"Soal siapa sokong siapa, biarlah peringkat atasan yang membuat keputusan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!