Peniaga rugi RM40,000 diperdaya syarikat pengurusan pengacara
KOTA KINABALU - Lapan peniaga membuat laporan polis bagi menuntut semula wang yang dibayar kepada sebuah syarikat pengurusan pengacara selepas konsert yang sepatutnya dijadualkan berlangsung Ogos lalu ditunda sehingga kini.
Mereka antara kira-kira 70 peniaga yang mendakwa diperdaya sekali gus mengalami kerugian sehingga RM40,000 selepas membuat bayaran untuk mendapatkan tapak lot berniaga daripada syarikat berkenaan.
Peniaga makanan, Siti Nurshrina Zaidin, 27, berkata, laporan polis itu dibuat untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap syarikat terbabit supaya mengembalikan semula wang berkenaan.
Kami bukan sahaja rugi kerana bayar tapak lot berniaga tetapi juga membeli barangan teramsuk barang mentah untuk persediaan berniaga.
"Saya bayar RM5,000 untuk dua lot tapak niaga manakala kos membeli barangan mencecah RM6,000. Malah. saya terpaksa gadai barang kemas untuk dijadikan modal bayaran tapak itu," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Balai Polis Karamunsing di sini, pada Rabu.
Seorang lagi peniaga makanan, Mobin Majid, 43, berkata, dia sudah membuat bayaranRM5,500 bagi dua tapak lot niaga kapada seorang lelaki yang mendakwa salah seorang penganjur.
"Saya mendapat maklumat mengenai acara itu daripada kumpulan WhatsApp peniaga dan dimaklumkan akan ada acara termasuk konsert membabitkan artis terkenal pada 27 Ogos sehingga 4 September lalu di mana peniaga boleh mengambil peluang untuk berniaga sepanjang acara itu berlangsung.
"Pada mulanya saya berurusan secara bersemuka dengan seorang lelaki yang bernama 'Johari' dan pembayaran telah dibuat melalui transaksi bank sekitar Julai lalu untuk dua lot tapak perniagaan," katanya.
Bagaimanapun, mereka tidak dimaklumkan mengenai penangguhan acara berkenaan dan hanya mengetahuinya melalui kumpulan WhatsApp peniaga.
"Kami pergi ke rumah lelaki berkenaan untuk minta kembalikan wang kerana dia berjanji akan memulangkan wang itu dalam masa 15 hari, namun sebaliknya malah kami tidak dilayan dengan baik," katanya.
Sementara itu, Penyelaras Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah, Jerry Jaimeh berkata, pihaknya menerima aduan daripada peniaga berkenaan dan minta mereka supaya membuat laporan polis.
"Kita percaya ia didalangi individu tertentu dan laporan ini dibuat bagi membantu siasatan. Jika kes tidak berkaitan dengan kes jenayah, kita akan bantu mereka membuat tuntutan di mahkamah sivil.
"Kita juga minta peniaga lain yang terlibat tampil untuk membuat laporan polis dan dan jangan ambil tindakan sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!