'Kenapa hanya Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab?'
JOHOR BAHRU - Kekalahan BN pada PRU15 tidak seharusnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya hanya kepada pengerusinya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, kekalahan itu wajar dikongsi bersama oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Malah, Shahrir turut mempersoalkan keperluan klip video daripada Ismail Sabri yang mendesak Ahmad Zahid untuk meletakkan jawatan.
“Wow! Buat video pula. Perlu ke? Pada PRU15, Datuk Seri (Ahmad) Zahid (Hamidi) ialah Presiden dan (Datuk Seri) Ismail Sabri adalah Perdana Menteri.
“Takkan bila menang, jadi PM (Perdana Menteri), bila kalah, orang lain yang salah. (Datuk Seri) Ismail Sabri adalah Perdana Menteri yang membubarkan Dewan Rakyat setelah bentangkan Bajet 2023 (yang tidak dibahas) dan malah, dalam tempoh PRU15 lalu, beliau juga juga merupakan Perdana Menteri (caretaker).
“Tapi BN kalah, dan beliau meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada Datuk Seri (Ahmad) Zahid (Hamidi) sebagai Presiden UMNO. Ambiklah sikit share,” katanya pada kenyataan berkenaan.
Untuk rekod, BN mengalami kekalahan teruk pada PRU15 lalu dan kekalahan berkenaan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Shahrir berkata, biarpun dilihat tidak banyak memberikan impak dalam PRU15, namun (Datuk Seri) Ismail Sabri sebenarnya tetap memiliki ‘saham’ dalam prestasi BN.
“Datuk Seri Najib (Razak) pada PRU14 adalah Perdana Menteri dan juga Presiden (UMNO)..pada PRU15, (Ahmad) Zahid ialah Presiden (UMNO) dan (Datuk Seri) Ismail (Sabri) adalah Perdana Menteri.
“Mengapa hanya Presiden UMNO yang kena ‘besar hati’ menerima tanggungjawab parti kalah? Steadylah sikit, kita tinggal 30 je,” katanya pada kenyataan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!