30 penduduk terjejas, rumah dilanda ribut

Mohd Radzi membersihkan kawasan rumahnya setelah dapur rumah dihempap pokok rambutan dalam kejadian ribut di Kampung Serkam Darat, di sini pada Rabu.
Mohd Radzi membersihkan kawasan rumahnya setelah dapur rumah dihempap pokok rambutan dalam kejadian ribut di Kampung Serkam Darat, di sini pada Rabu.
A
A
A

JASIN - Hujan lebat beserta angin kencang menyebabkan 30 penduduk di Kampung Serkam Darat, Melaka, di sini, cemas apabila kediaman mereka dilanda ribut awal pagi Rabu.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan meskipun beberapa batang pokok dilaporkan tumbang dan menghempap rumah penduduk dalam kejadian 4.30 pagi itu.

Penduduk Mohd Radzi Hamzah, 37, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri serta dua orang anaknya sedang tidur, sebelum dikejutkan bunyi angin kuat dari luar rumah.

Dalam masa sama katanya, terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang rumah menyebabkan dia bergegas ke bahagian dapur dan terkejut mendapati dapur rumah telah dihempap pokok rambutan.

Hairul Amin (kiri) melihat keadaan rumah Mohd Syukri yang dilanda ribut.
Hairul Amin (kiri) melihat keadaan rumah Mohd Syukri yang dilanda ribut.

"Memang cemas ketika itu, saya tengok di luar rumah angin kencang dan bumbung rumah tercabut manakala sebatang pokok hempap rumah kami.

"Nasib baik tiada ahli keluarga yang tercedera. Sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian ribut seperti ini," katanya.

Mohd Syukri Abdullah, 38, yang bekerja sendiri, berkata, dia turut terkejut apabila bumbung tandas dan dapur rumah pusaka yang didiaminya telah diterbangkan angin dalam kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

Mohd Syukri
Mohd Syukri

Menurutnya, kejadian itu disedari ketika dia bangun untuk bersiap menunaikan solat subuh sebelum mendapati hujan memasuki kawasan tandas dan dapur rumah.

"Ketika kejadian saya seorang sahaja di rumah pusaka ini dan bila pergi ke bilik air saya dapati hujan masuk ke dalam rumah. Rupanya bumbung telah tercabut.

"Sehingga sekarang saya masih lagi terkejut kerana belum pernah rumah dilanda ribut.

"Harap kerja baik pulih dapat disegerakan memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti, (JPKK), Kampung Serkam Darat, Hairul Amin Madon berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kira-kira 30 penduduk membabitkan lapan buah rumah di kawasan itu terjejas akibat ribut.

Menurutnya, tindakan awal telah diambil bagi mengelakkan kejadian lebih buruk menimpa penduduk termasuk menyegerakan kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas.

"Saya kemudian menghubungi Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan meminta bantuan daripada unit bencana untuk membersihkan kawasan pokok tumbang.

"Kita juga telah memanjangkan perkara ini kepada pihak Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri Serkam.

"Mangsa yang terjejas telah dinasihatkan membuat laporan polis agar mereka mendapat bantuan sewajarnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!