Pasca PRU15: APM bantu PDRM kawal ketenteraman awam

Mulliadi (kiri) bersama anggota APM ketika melawat salah satu lokasi penugasan di Hulu Langat pada Rabu.
Mulliadi (kiri) bersama anggota APM ketika melawat salah satu lokasi penugasan di Hulu Langat pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 500 anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor ditugaskan untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi langkah kesiapsiagaan berikutan kerajaan yang masih belum dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah APM Selangor, Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan pihak PDRM dalam menangani isu melibatkan ketenteraman awam.

"APM membantu dalam soal mencegah sebarang bentuk aktiviti mahupun perilaku berkumpulan atau individu yang dilihat boleh mengganggu serta menjejaskan keselamatan awam.

"Kita juga menyarankan kepada orang awam supaya menghindari sebarang bentuk aktiviti atau sesi perhimpunan haram mahupun provokasi terhadap apa-apa jua perkara yang berbangkit," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, bagi penugasan APM dalam fasa pasca PRU15, Bilik Gerakan APM bagi Operasi PRU15 masih diaktifkan sehingga 25 November ini.

"Penugasan kita yang terarah kepada perlindungan awam masih dilaksanakan, manakala bagi fasa pasca PRU15, kita mengikuti secara rapat perkembangan proses demokrasi ini.

"Dalam masa yang sama kita juga melaksanakan pemantauan atau rondaan secara berkala di beberapa lokasi-lokasi penting di negeri ini," katanya.

Tambah beliau, orang ramai disarankan agar terus menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya berdepan dengan situasi cemas.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan keputusan rasmi PRU15, tiada mana-mana gabungan parti berjaya memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan untuk membentuk kerajaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!