Pengerusi PH, BN Pahang bincang tubuh kerajaan negeri
KUANTAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi membentuk kerajaan negeri Pahang.
Setiausaha PH Pahang, Rizal Jamin berkata, perbincangan antara dua pemimpin itu diadakan pada Selasa.
"Hasil perbincangan adalah positif ke arah membentuk kerajaan Pahang di antara BN dan PH yang stabil dan inklusif," katanya mewakili Amirudin dan lapan Ahli Dewan Negeri (Adun) PH Pahang pada Rabu.
Rizal berkata, ia juga demi menjamin kemakmuran dan pembangunan mapan ekonomi negeri Pahang.
Sebelum ini PN Pahang mendakwa telah mengadakan perbincangan bersama BN berhubung perkara sama.
Pengerusinya,Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam kenyataanya pada Selasa memberitahu, perbincangan itu diwakili Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Setakat ini belum ada sebarang kenyataan daripada BN Pahang berhubung perbincangan dengan PN dan PH itu.
Kerajaan Negeri Pahang kini tergantung apabila tiada gabungan parti bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memperoleh majoriti.
BN yang dijangkakan kembali menerajui kerajaan negeri dengan majoriti selesa dikejutkan PN yang menang dengan kelebihan satu kerusi DUN ketika ini.
PN memenangi 17 kerusi di DUN Tanjung Lumpur, Cheka, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Damak, Pulau Tawar, Tahan, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Lepar, Sungai Lembing dan Panching.
BN pula menang 16 kerusi di DUN Peramu Jaya, Jelai, Muadzam Shah, Dong, Guai, Kerdau, Kemayan, Benta, Inderapura, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Bebar, Chini, Pelangai dan Sabai manakala PH lapan kerusi iaitu DUN Tanah Rata, Teruntum, Tras,Triang, Mentakab, Semambu, Bilut dan Ketari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!