Pengurusan tanah rizab Melayu Selangor kurang cekap: LKAN
SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2020 Siri 1 mendapati Pengurusan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor secara keseluruhannya dirumuskan adalah kurang cekap dan berkesan.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, penilaian output berdasarkan prestasi keseluruhan TRM sehingga Disember 2021 menunjukkan sasaran keluasan TRM seperti yang ditetapkan oleh Wasiat Raja-Raja Melayu masih belum dicapai, iaitu 20.5 peratus berbanding 50 peratus yang disasarkan.
Prestasi pembatalan dan penggantian TRM juga menunjukkan sebanyak 1,881.80 hektar atau 42.5 peratus keluasan TRM masih belum diganti setakat Disember 2021, katanya.
"Inisiatif yang dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor bagi pembangunan TRM selaras dengan dasar Rancangan Struktur Negeri 2035 adalah tidak menyeluruh bagi manfaat orang Melayu.
"Selain itu, Jawatankuasa Khas Pengurusan dan Penggantian TRM yang diwujudkan juga tidak pernah membincangkan secara khusus berkenaan TRM yang berpotensi untuk dimajukan pada masa hadapan serta inisiatif usaha sama bagi menggalakkan pembangunan TRM,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Nik Azman berkata, secara keseluruhannya berdasarkan skop pengauditan yang dilaksanakan terhadap Akademi PKNS Sdn Bhd (APSB) mendapati objektif penubuhan akademi itu belum tercapai sepenuhnya kerana peranan sebenar APSB ketika ini tidak selari dengan objektif penubuhan di samping pengurusan hasil serta perbelanjaan yang lemah.
"Tadbir urus korporat syarikat adalah memuaskan namun empat dari sembilan aspek tadbir urus korporat yang diaudit masih tidak diamalkan sepenuhnya. Selain itu, kedudukan kewangan APSB adalah kurang stabil kerana mengalami peningkatan trend kerugian pada 2020 dan 2021.
"Kedudukan aset syarikat masih mampu menampung liabiliti jangka pendeknya dan aliran tunai dan kesetaraan tunai APSB berbaki positif dalam tempoh tiga tahun yang dinilai. Bagaimanapun, terdapat trend penurunan aliran tunai dari tahun ke tahun seterusnya,” katanya.
Nik Azman berkata, bagi Program Pembangunan Usahawan di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), secara keseluruhannya, berdasarkan skop pengauditan dapat dirumuskan bahawa UPEN telah memenuhi peranannya sebagai agensi utama dalam program pembangunan usahawan.
Katanya, pencapaian output dari aspek kelulusan bantuan yang ditetapkan adalah memuaskan kerana permohonan yang diluluskan adalah tinggi dan telah mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Selain itu, bagi promosi, latihan dan program 4P, prestasi pelaksanaan adalah baik kerana pelaksanaan program dibuat berdasarkan peruntukan yang diluluskan, namun tiada kajian impak dijalankan.
"Bagi Program Pembangunan Usahawan India Selangor pula, prestasi pelaksanaan kurang memuaskan kerana program tidak dilaksanakan mengikut perancangan,” katanya.
Nik Azman berkata, LKAN tersebut telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 Ogos lepas setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini setelah diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
LKAN boleh diakses oleh orang awam menerusi laman web http://www.audit.gov.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!