Empat lelaki ditahan terlibat judi Piala Dunia
ALOR SETAR - Empat lelaki ditahan polis dipercayai terlibat dalam pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 pada malam Selasa.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mereka ditahan dalam tiga serbuan ‘Op Soga IX’ di sekitar Alor Setar, Jitra dan Sungai Petani.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di Pekan Anak Bukit, Alor Setar pada jam 10 malam sebelum menahan seorang lelaki berusia 34 tahun.
"Serbuan dilakukan anggota Bahagian Maksiat, Perjudian Dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan hasil siasatan suspek mengaku terlibat mengatur keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia dengan nilai pertaruhan RM20,000.
“Dalam serbuan itu polis turut merampas telefon bimbit dan sejumlah wang tunai RM385," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.
Sementara itu, Wan Hassan berkata, dalam serbuan kedua di hadapan sebuah restoran di Taman Ria Jaya, Sungai Petani pada jam 1.30 pagi, polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 26 tahun juga dipercayai terlibat dalam pertaruhan terbabit.
Beliau berkata, dalam penahanan tersebut, polis merampas sebuah telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai RM110.
"Dalam serbuan ketiga di sebuah kedai di Kampung Kubang Chenok, Jitra turut ditahan seorang lelaki berusia 22 tahun pada jam 12 tengah malam.
“Polis merampas sebuah telefon bimbit, mesin pencetak mini, sebilah parang berulu kayu, dua resit pertaruhan perlawanan antara Perancis dan Australia serta wang tunai bernilai RM350 daripada suspek,” ujarnya.
Wan Hassan berkata, polis akan terus membanteras kegiatan pertaruhan Piala Dunia yang baru bermula 20 November lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!