Keputusan pertemuan PN-BN jadi tanda tanya
KUALA LUMPUR - Mesyuarat di antara pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) telah selesai pada jam 4.55 petang tadi.
Difahamkan, pertemuan di Hotel St Regis itu melibatkan tujuh pemimpin PN dan empat pemimpin BN dan berlangsung selama lebih sejam.
Pemimpin PN yang hadir adalah Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Wakil BN yang hadir adalah Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Difahamkan, antara intipati perbincangan adalah bentuk tawaran yang boleh PN berikan, bagi membolehkan BN memuktamadkan sokongan dalam pembentukan kerajaan baharu.
Bagaimanapun, hasil daripada pertemuan itu tidak dapat diketahui memandangkan kesemua pemimpin yang terlibat keluar melalui pintu belakang bagi mengelak daripada bertemu media.
Pihak media yang mendapat maklumat awal tentang pertemuan itu mula berkumpul di hotel berkenaan sejak jam 11 pagi.
Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri yang memasuki hari keempat hari ini menyaksikan masih tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.
Walaupun Pakatan Harapan (PH) dan PN masing-masing sebelum ini menyatakan keyakinan memperoleh sokongan mencukupi, BN yang dilihat menjadi 'king maker' membuat keputusan untuk kekal sebagai pembangkang dan tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan, sekali gus menyukarkan PH dan PN mencapai majoriti mudah 112 sokongan ahli Dewan Rakyat.
Pada Selasa, Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan parti itu berpendirian untuk tidak terlibat dengan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, beliau juga telah menandatangani surat dan memilih untuk tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!