Pemandu lori gagal rayuan sabitan, hukuman mati
PUTRAJAYA - Seorang pemandu lori gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengetepikan hukuman mati kerana membunuh rakan sekampungnya dengan melanggar mangsa menggunakan kereta, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan menolak rayuan Azami Mohamad, 53, terhadap sabitan dan hukuman mati atas kesalahan membunuh Rohadi Yaacob, 49.
Mahkamah juga menolak rayuan Azami terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun kerana cubaan membunuh Zakaria Taib, 48, dengan menggunakan kereta Proton Gen 2 untuk melanggar sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Dalam keputusan mahkamah, Hakim Hanipah berkata, berdasarkan keseluruhan keterangan, mahkamah berpuas hati bahawa sabitan Azami atas kesalahan membunuh dan cubaan membunuh adalah selamat.
Beliau berkata, hakim bicara tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta kes untuk mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Hakim Hanipah, bagaimanapun, membenarkan rayuan Azami untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam bulan kerana membuat laporan polis palsu di Balai Polis Permaisuri di Setiu, Terengganu, jam 6.29 petang, pada 2 Oktober 2014.
Dalam laporan itu, Azami mendakwa ditahan dua mangsa menggunakan parang dan terlanggar mangsa ketika cuba mengelak.
Mengikut pertuduhan, Azami, seorang duda dengan tiga orang anak, didakwa membunuh Rohadi dan cuba membunuh Zakaria di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tiong, Setia, pada jam 6 petang, 2 Oktober 2014.
Pada 14 Julai, 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman gantung terhadap Azami selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan hukuman penjara 10 tahun kerana cubaan membunuh dan enam bulan kerana membuat laporan palsu.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas dilanggar seorang lelaki dikenali gara-gara perselisihan faham mengenai penjualan lembu.
Sebelum kejadian itu, dua mangsa dikatakan bertengkar dengan suspek di sebuah kedai kopi.
Ketika dalam perjalanan pulang, suspek bertindak mengejar dan melanggar dua mangsa menggunakan kereta.
Rempuhan itu menyebabkan dua mangsa terpelanting ke tengah jalan dan suspek bergerak ke depan dengan membuat pusingan U sebelum menggilis mangsa dan terus melarikan diri.
Azami diwakili peguam Kamaruzaman A Wahab manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Parvin Hameedah dan Nurul Farhana Khalid. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!