Panduan Al-Kahf untuk ilmuwan
KUALA LUMPUR - “Kita terpaksa bersusah payah mencari ilmu atau guru, bertalaqi dan belajar. Kita tidak boleh berehat, sekadar tengok internet, duduk di rumah dan akhirnya mendakwa diri menjadi pandai dan handal. Itu tidak tepat.”
Demikian pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika ditanya mengenai cabaran ilmu pada zaman ini.
Beliau sebagai Wakil Ilmuwan akan berkongsi ilmu dan pengalaman dalam sesi Wacana Al-Kahf pada World Convention Al-Kahf di Dewan Muktamar Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur pada jam 2.15 petang, 17 April ini.
“Dalam Surah Al-Kahf terdapat pengajaran dalam menuntut ilmu, contohnya kisah Nabi Musa mencari guru sehingga bertemu Khidr AS yang mensyaratkan beliau agar tidak bertanya. Ini menunjukkan kepentingan kesabaran dan beradab dalam menuntut ilmu.
“Jika dilihat sikap Nabi Musa AS secara zahir berupa ammar maaruf nahi mungkar atau menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kita tidak mahu ramai orang mengaku dirinya Khidr untuk membuat perkara menyalahi syarak, jadi kita perlu ambil sifat Nabi Musa AS untuk bercakap dan bertanya,” jelas beliau.
Katanya, Surah Al-Kahf mengisahkan banyak watak seperti pemuda Al-Kahf, Zulkarnain, Nabi Musa AS dan Khidr AS yang berilmu serta menegakkan agama ALLAH SWT. Ia mungkin pertembungan antara kebatilan dan kebenaran.
“Oleh itu, kebijaksanaan, kesungguhan dan istiqamah adalah antara cara paling penting selain sentiasa bermunajat dan bergantung harap kepada ALLAH SWT ketika menyampaikan risalah-Nya di muka bumi ini,” katanya.
Apabila ditanya solusi dalam menghadapi cabaran sebagai ilmuwan, Zulkifli berkata, umat Islam perlu sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT agar dikurniakan taufik dan hidayah serta istiqamah dalam menuntut ilmu.
“Kita sentiasa menghidupkan muzakarah bersama masyaikh, tuan guru dan sahabat handai yang pandai. Kita juga sentiasa bertanyakan kepada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing agar dapat penjelasan,” katanya.
Sebagai mufti, beliau melazimi mengajar seperti pengajaran kuliah dhuha dan ceramah berkaitan isu semasa di masjid-masjid Wilayah Persekutuan, sesi bedah buku Kitab Safinatun Najah kepada guru dan imam serta bermuzakarah bersifat harian dan mingguan untuk semarakkan ilmu.
“Kita juga guna capaian maklumat terkini dari seluruh dunia termasuk fatwa dari Kaherah dan Makkah bagi menghidupkan suasana keilmuwan dan kefahaman yang jelas,” katanya.
Orang ramai diundang untuk mendengar secara langsung perkongsian Wakil Ilmuwan, Mufti Wilayah Persekutuan pada World Convention Al-Kahf dengan mendaftar di http://bit.ly/SiriKeagunganQuran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!