Harimau Malaya panggil Lee Tuck, Aguero

Senarai 29 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya. Foto FB FAM
Senarai 29 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya. Foto FB FAM
A
A
A

PEMAIN naturalisasi Sri Pahang, Sergio Aguero dan Lee Tuck antara 29 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 29 November ini.

Pengendali kebangsaan Kim Pan-Gon melakukan rombakan terhadap skuad tersebut apabila turut memanggil David Rowley dan Stuart Wilkin.

Pemain warisan yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools turut dipanggil, manakala seramai 11 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) diketepikan dengan hanya dua pemain disenaraikan iaitu Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah.

Pemain JDT yang dilepaskan ialah Shahrul Mohd Saad, Lawrence Corbin-Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shio Hong Wan dan Natxo Insa.

Tonggak tengah Pahang, Nor Azam Azih pada mulanya berada dalam senarai Pan-gon, tetapi terpaksa dilepaskan.

Pelepasan ke atas 12 pemain berkenaan dibuat atas urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.

Bagi posisi penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed telah terpilih bersama-sama Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Muhammad Azri Ghani dan Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Cools pula akan mengetuai jentera pertahanan di samping pemain-pemain seperti Ahmad Khuzaimi Piee, Dominic Tan, Azam Azmi Murad, Sharul Nazeem Zulpakar, Declan Lambert, Quentin Cheng dan V. Ruventhiran.

Artikel Berkaitan:

Pemain Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi, Brendan Gan, Nur Hakim Hassan, Wilkin, Akram Mahinan, R. Kogileswaran, David Rowley, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau dan Mohd Faiz Nasir akan merebut tempat di posisi tengah.

Bahagian serangan pula akan diisi Darren Lok, Faisal Abdul Halim, Safawi, Ramadhan Saifullah serta tiga muka baharu iaitu Lee Tuck, Aguero dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.

Senarai awal menyenaraikan 41 pemain, namun selepas perbincangan dan persetujuan bersama yang telah dicapai di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Pan Gon dan kelab-kelab terlibat seramai 12 pemain tidak dapat menyertai kem latihan tersebut.

Skuad negara akan mengharungi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

FAM dalam satu kenyataan memberitahu, perlawanan tersebut adalah sebagai aksi pemanas badan skuad kebangsaan menjelang Piala AFF 2022.

Selepas dua aksi persahabatan Pan Gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain yang akan menyarung jersi skuad kebangsaan yang bersaing dalam Kumpulan B.

Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember, menentang Laos di laman sendiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember, bertandang ke Hanoi menentang Vietnam pada 27 Disember.

Malaysia akan membuat perhitungan dengan Singapura pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6/7 Januari 2023 dan 9/10 Januari 2023, manakala final dijadualkan pada 13 dan 16 Januari 2023.

Kesemua aksi berlangsung secara timbal balik.

FAM memberitahu, tanpa 12 pemain yang tidak dapat menyertai pasukan bagi menghadapi Piala AFF ia memberi peluang kepada mereka membuktikan kemampuan masing-masing.

Ia juga menjadi platform untuk Pan Gon mempersiapkan pasukan menjelang kelayakan Piala Dunia 2026 bermula tahun depan dan Piala Asia 2023 di Qatar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!