Guardiola sambung dua tahun lagi bersama Manchester City
Guardiola kekal di Etihad lagi
PEP Guardiola menandatangani lanjutan kontrak dua tahun dengan Manchester City, yang mengikatnya bersama kelab Etihad itu sehingga 2025.
Pengendali berusia 51 tahun itu sebelum ini mempunyai baki lapan bulan dalam perjanjian yang akan tamat pada penghujung musim.
Guardiola telah mengadakan perbincangan dengan eksekutif City di Abu Dhabi semasa saingan Liga Perdana Inggeris berehat pertengahan musim untuk Piala Dunia Qatar 2022.
Juara Liga Perdana Inggeris itu telah mengambil rehat sementara tersebut sebagai peluang untuk mengekalkan khidmat Guardiola bersama The Citizens.
Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich tersebut menyertai Manchester City pada 2016 dan sejak itu memenangi empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris, satu Piala FA dan empat Piala Liga.
Namun Guardiola masih belum memenangi Liga Juara-Juara bersama Manchester City, walaupun membimbing kelab itu ke final pertama pada 2021, sebelum akur dijinakkan 0-1 Chelsea dalam perlawanan.
“Sejujurnya saya sangat gembira apabila dapat kekal di Manchester City untuk dua tahun lagi.
“Terima kasih kepada semua orang di kelab Manchester City kerana mempercayai saya. Saya gembira dan selesa, dan mempunyai semua yang diperlukan untuk melakukan kerja sebaik mungkin.
“Saya tahu bab seterusnya kelab ini akan menjadi menakjubkan untuk dekad akan datang. Ia berlaku sejak 10 tahun lalu, dan ia akan berlaku dalam 10 tahun akan datang kerana kelab ini begitu stabil," katanya Guardiola.
Tambah Guardiola: “Sejak hari pertama saya merasakan sesuatu yang istimewa apabila dapat berada di Manchester City.
"Saya tidak boleh berada di tempat yang lebih baik melainkan di Manchester City.
“Malah saya masih merasakan masih banyak lagi yang boleh kita capai bersama dan itulah sebabnya saya mahu kekal dan terus berjuang untuk trofi.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!