Indonesia haramkan iklan komersial Blackpink

 Iklan memaparkan Blackpink itu didakwa melanggar norma moral di Indonesia.
Iklan memaparkan Blackpink itu didakwa melanggar norma moral di Indonesia.
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Iklan televisyen memaparkan kumpulan K-pop, Blackpink memakai skirt pendek telah diharamkan daripada gelombang udara di Indonesia hingga mencetuskan bantahan para peminatnya.

Suruhanjaya Penyiaran Indonesia mengarahkan 11 stesen TV domestik menarik balik iklan komersial itu pada lewat semalam selepas mendakwa ia tidak senonoh.

Arahan itu dikeluarkan selepas sebuah petisyen ditandatangani lebih 100,000 individu meminta suruhanjaya terbabit membatalkan iklan itu yang memaparkan anggota kumpulan terkenal Korea terbabit menyanyi dan menari untuk mempromosikan laman beli belah atas talian, Shopee.

"Mana-mana syarikat perlu berhati-hati apabila mereka menghasilkan iklan yang mana mereka perlu memastikan produk tersebut tidak memberi persepsi negatif kepada rakyat negara ini," kata ketua agensi itu, Hardly Stefano.

Sementara itu, pengawas penyiaran di Jakarta berkata, iklan itu melanggar norma moral di negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam terbesar di dunia.

Shopee dalam satu kenyataan memaklumkan iklan tersebut telah diluluskan oleh sebuah agensi kerajaan lain sebelum ia disiarkan. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!