Budak 6 tahun masih hidup selepas terperangkap 48 jam

Azka berjaya dikeluarkan daripada runtuhan rumahnya di Cianjur, Jawa Barat pada Rabu. - Foto AFP
Azka berjaya dikeluarkan daripada runtuhan rumahnya di Cianjur, Jawa Barat pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

CIANJUR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berjaya dikeluarkan daripada runtuhan bangunan akibat gempa bumi berkekuatan 5.6 skala Richter di Indonesia pada Isnin lalu selepas mangsa terperangkap selama 48 jam tanpa makanan dan air minuman.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dramatik itu dilakukan pada Rabu di bandar Cianjur, Jawa Barat yang terjejas teruk dan telah meragut sekurang-kurangnya 271 nyawa.

"Ia adalah satu keajaiban. Semua orang termasuk saya menangis gembira apabila melihat kanak-kanak itu masih bernyawa," kata sukarelawan dikenali sebagai Jeksen pada Khamis.

Sebuah rakaman video yang dikeluarkan Pentadbiran Bogor turut memaparkan usaha mengeluarkan budak itu yang dikenali sebagai Azka dari bawah runtuhan rumah yang musnah di daerah Cugenang.

Difahamkan, ibunya terkorban dalam kejadian gempa itu dan mayatnya ditemui beberapa jam sebelum operasi menyelamatkan Azka.

"Kanak-kanak itu dijumpai di sisi mayat neneknya. Dia dilindungi oleh bantal. Kami tidak menjangkakan kanak-kanak itu mampu bertahan selepas tempoh 48 jam kerana dia terperangkap di ruang yang sempit dan gelap serta tiada lubang pengudaraan yang sempurna," ujar Jeksen sambil menjelaskan Azka terselamat kerana tidak ditimpa dinding yang runtuh walaupun berada pada jarak yang sangat hampir dengan konkrit itu pada kira-kira 10 sentimeter.

Sementara itu, anggota penyelamat memaklumkan kebanyakan korban gempa itu adalah kanak-kanak di sekolah atau yang berada di rumah kerana tidak sempat menyelamatkan diri.

"Masa semakin suntuk untuk menyelesaikan misi menyelamat itu selain berdepan cuaca buruk.Kami telah mengerahkan 6,000 anggota penyelamat. Kami akan teruskan usaha mencari mangsa yang mungkin masih terselamat.

Artikel Berkaitan:

"Tolong doakan kami agar 40 lagi mangsa termasuk kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun yang dilaporkan hilang dapat ditemui," kata Ketua Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Suharyanto. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!