Permohonan maaf DAP kepada Sarawak tindakan tepat: Kon Yeow
GEORGETOWN - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang memohon maaf terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk pembentukan kerajaan perpaduan adalah tindakan yang tepat.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tindakan Anthony itu adalah wajar dalam meletakkan agenda nasional melebihi parti dan perasaan peribadi.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha membentuk kerajaan perpaduan demi kepentingan negara dan rakyat.
"Beliau telah melakukan perkara yang betul dalam memulihkan kepercayaan daripada GPS untuk membentuk kerajaan perpaduan.
"Permohonan maaf ini adalah wajar dalam meletakkan agenda negara mengatasi parti dan peribadi," katanya kepada media di pekarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berharap permohonan maaf terbuka itu dapat memulihkan niat baik dan perasaan dalam kalangan pelbagai pihak, khususnya GPS di Sarawak dengan DAP dan PH.
"Saya harap ini dapat membawa hasil yang diidamkan PH selain parti politik lain diberi restu untuk membentuk kerajaan Persekutuan akan datang," katanya.
Ketika ditanya mengenai kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) di peringkat kerajaan pusat akan memberi kesan kepada kerajaan Pulau Pinang, beliau berkata, ia masih terlalu awal untuk dibincangkan.
"Kita perlu menyesuaikan dan membiasakan diri dengan penstrukturan semula kuasa politik di negara ini.
"Secara nasional, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan yang mana ia (kerjasama) belum sampai ke peringkat negeri lagi," katanya.
Pada Khamis, Anthony dalam kenyataan medianya berkata, beliau yang mewakili DAP memohon maaf secara terbuka terhadap kerajaan dan rakyat Sarawak sekiranya terdapat sebarang kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan.
Permohonan maaf itu dibuat dalam perjumpaan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediaman beliau di Kuching, Sarawak.
Kata Anthony, pertemuan itu diharap dapat membuka satu lembaran baharu untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng turut memohon maaf berhubung perkara sama di laman Facebooknya.
"Saya memohon maaf sekiranya sebarang kenyataan saya telah menyinggung Premier Sarawak dan kerajaan GPS Sarawak. Masa depan negara mendahului segala-galanya.
"Kita sama-sama mengorak permulaan baru untuk berganding bahu demi memelihara kemajmukan, keterangkuman serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!