'Bandar iPhone' kenakan lockdown susulan protes ganas

Beberapa pekerja yang berang bertempur dengan pihak berkuasa yang lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE). - Foto AFP
Beberapa pekerja yang berang bertempur dengan pihak berkuasa yang lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE). - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Penduduk di beberapa daerah di pusat bandar Zhengzhou, China yang menempatkan kilang pembuatan iPhone dikenakan perintah lockdown selepas protes ganas tercetus di kompleks berkenaan.

Jurucakap kerajaan tempatan memberitahu penduduk tidak dibenarkan meninggalkan kawasan yang berdepan sekatan melainkan mereka menunjukkan keputusan negatif ujian Covid-19 dan mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Mereka dinasihatkan supaya duduk di rumah melainkan terdapat keperluan untuk keluar atas urusan tertentu," katanya merujuk kepada notis pemerintah yang dikeluarkan pada lewat Rabu.

Difahamkan, sekatan ketat ke atas lebih enam juta penduduk di bandar itu akan berkuat kuasa selama lima hari bermula tengah malam Jumaat.

Di bawah langkah itu, penduduk di lapan daerah turut diarahkan melakukan ujian asid nukleik harian sepanjang tempoh lockdown berkenaan berikutan penularan wabak Covid-19 masih membimbangkan.

Susulan tunjuk perasaan yang tercetus di kemudahan milik syarikat gergasi Taiwan, Foxconn tersebut, firma berkenaan telah memohon maaf atas 'kesilapan teknikal' melibatkan sistem pembayaran gaji yang antara menjadi punca protes tersebut.

"Pihak kami telah meneliti perkara itu yang berpunca daripada kesilapan input pada sistem komputer. Kami beri jaminan bayaran gaji akan diberikan seperti yang dipersetujui sebelum ini," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ketika insiden protes itu, ratusan pekerja berarak di Zhengzhou yang mendapat julukan sebagai 'bandar iPhone' dan sebahagian daripadanya bertempur dengan polis antirusuhan dan pihak berkuasa yang lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE).

Artikel Berkaitan:

Konfrontasi itu dilaporkan tercetus selepas pekerja hanya menerima bayaran gaji 30 yuan (RM19) walaupun sudah menandatangani kontrak untuk menerima bayaran gaji secara sekali gus berjumlah 3,000 yuan (RM1,896) bagi tempoh 30 hari bekerja.

Sebelum ini, kemudahan itu telah berdepan sekatan ketat Covid-19 selama lebih sebulan susulan peningkatan kes jangkitan di asrama pekerja.

Rakaman video yang menjadi tular pada bulan lalu memaparkan kumpulan pekerja yang panik melarikan diri kerana mendakwa keadaan yang amat buruk di kompleks berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, kes jangkitan Covid-19 di Beijing mencecah rekod tertinggi pada Khamis dengan 31,454 kes domestik dengan 27,517 kes tidak bergejala.

Zhengzhou turut mencatatkan 675 kes baharu dengan majoriti daripadanya adalah asimptomatik. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!