Anwar Ibrahim sah dilantik Perdana Menteri ke-10

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, disahkan dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, disahkan dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Khamis berkata, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada jam 5 petang ini di lstana Negara.

Beliau berkata, keputusan pelantikan itu dibuat setelah Seri Paduka Baginda memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu pada sesi perbincangan khas yang berlangsung bermula jam 11 pagi Khamis.

Menurut Ahmad Fadil, perbincangan khas itu juga bertujuan bagi Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan Baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

Katanya, proses itu adalah bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) (a) dan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar lbrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan Istana Negara
Kenyataan Istana Negara

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda juga mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka yang mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan,” ujarnya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menyebut bahawa Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Jelasnya, Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.

“Seri Paduka Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT dan menyeru rakyat agar terus beristiqomah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa berada diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan ALLAH SWT dijauhi daripada sebarang bencana dan musibah,” kata kenyataan itu.

Kenderaan rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir
dilihat keluar dari Istana Negara sekitar jam 11.59 minit pagi. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Kenderaan rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dilihat keluar dari Istana Negara sekitar jam 11.59 minit pagi. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!