Belanjawan 2023 Kelantan RM1.62 bilion

Ahmad ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Persidangan Kali Ke-3 (Belanjawan) Penggal ke-5 DUN Kelantan ke-14 di Kota Darul Naim, Kota Bharu, pada Khamis. Foto: Ihsan RTM
Ahmad ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Persidangan Kali Ke-3 (Belanjawan) Penggal ke-5 DUN Kelantan ke-14 di Kota Darul Naim, Kota Bharu, pada Khamis. Foto: Ihsan RTM
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM1.62 bilion dengan defisit dianggarkan sebanyak RM165.31 juta berbanding defisit RM90.49 juta pada tahun lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, Belanjawan 2023 itu meningkat sebanyak RM112.53 juta atau 7.45 peratus berbanding Belanjawan 2022 yang hanya sebanyak RM1.51 bilion.

Katanya, defisit 2023 pula meningkat sebanyak RM74.81 juta tahun ini berbanding defesit 2022.

“Bagi memastikan kewangan kerajaan Kelantan kekal utuh dan lestari, Belanjawan 2023 menganggarkan jumlah kutipan hasil sebanyak RM983.14 juta.

“Jangkaan terimaan hasil daripada agensi kerajaan masih penyumbang terbesar sebanyak RM390.70 juta (39.74 peratus) diikuti jumlah kutipan tanah sebanyak RM356.28 juta (36.24 peratus) manakala terimaan lain ketiga berjumlah RM91.71 juta (9.33 peratus),” katanya pada Persidangan Kali Ke-3 (Belanjawan) Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darul Naim di sini pada Khamis.

Ahmad berkata, Belanjawan 2023 bertemakan Kelantan Maju Rakyat Sejahtera bagi membangunkan ekonomi negeri secara inklusif menjurus kepada enam teras iaitu kewangan teguh dan lestari, cakna rakyat, kebajikan, kemakmuran ekonomi, galakan pelancongan dan pembangunan modal insan.

Menurutnya, prestasi ekonomi Kelantan mencatat pertumbuhan positif dengan nilai dan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2021 pada RM25.8 bilion meningkat 2.4 peratus berbanding negatif 1.2 peratus pada 2020 pada nilai RM25.2 bilion.

“Sektor perkhidmatan penyumbang terbesar RM17.8 bilion (68.91 peratus) diikuti pertanian RM5.9 bilion (23.1 peratus), pembuatan RM1.3 bilion (4.5 peratus), pembinaan RM401 juta (1.6 peratus) dan perlombongan serta pengkuarian RM359 juta (1.4 peratus).

Artikel Berkaitan:

“Pada 2022 dan 2023, KDNK Kelantan dijangka terus kukuh dan prestasi kewangan juga kekal cemerlangan serta berdaya tahan,” katanya.

Tambah beliau, Belanjawan 2023 ini realistik, peka ekonomi semasa dan mewujudkan lebih banyak inisiatif kepada semua lapisan rakyat.

“Tumpuan diberikan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran dan kewangan dan mentransformasikan pengurusan pungutan hasil.

“Kerajaan negeri menekankan perbelanjaan berhemah dan melaksanakan pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!